Rawatan dialisis tidak terputus, pesakit diterbangkan ke Miri

Facebook
WhatsApp
DITERBANGKAN..Pesakit buah pinggang dari Long Lellang, Baram, dipindahkan ke Miri menerusi operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) menggunakan helikopter Mi-171 JBPM bagi memastikan rawatan dialisisnya dapat diteruskan mengikut jadual. Foto JBPM

MIRI: Demi memastikan rawatan dialisis tidak terputus, seorang pesakit buah pinggang dari Long Lellang, Baram, diterbangkan ke Miri menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), semalam.

Pesakit yang memerlukan rawatan dialisis tiga kali seminggu itu dipindahkan menerusi operasi pemindahan perubatan (MEDEVAC) susulan penutupan sementara Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang selama dua hari.

Penutupan itu dibuat bagi memberi laluan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan di lokasi nahas helikopter yang berlaku 8 September lalu.

JBPM dalam kenyataan malam tadi memaklumkan pihaknya menerima panggilan daripada Pejabat Residen Bahagian Miri berhubung keadaan pesakit terbabit yang memerlukan rawatan susulan di Hospital Miri mengikut jadual ditetapkan.

Susulan itu, khidmat khas pesawat Mi-171 JBPM digunakan bagi melaksanakan operasi berkenaan yang diketuai TPgB I Ahmad Fissol Ismail bersama lapan anggota unit udara.

Pesakit diterbangkan dari STOLport Long Lellang ke Miri sebelum diserahkan kepada pihak Hospital Miri untuk tindakan dan rawatan lanjut.

Operasi itu turut membabitkan kerjasama Kementerian Kesihatan menerusi Hospital Miri dan Klinik Kesihatan Long Lellang.

Menurut JBPM, operasi penerbangan tamat pada 12.12 tengah hari dengan keadaan jerebu dan awan tebal dilaporkan sepanjang penerbangan.

Jarak penglihatan juga dilaporkan kurang daripada lima kilometer.

Oleh Liong Chai Ling