KUCHING: Sarawak Energy terus memberi perhatian terhadap isu bil elektrik yang dibangkitkan pelanggan dengan menyediakan saluran bantuan dan semakan secara terperinci bagi setiap kes.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat SESCO Berhad (SESCO), Yusri Safri berkata, pelanggan yang terlibat dalam 24 kes yang dibangkitkan menerusi media sosial baru-baru ini telah dihubungi dan semakan sedang dilakukan bagi setiap kes berkenaan.
Menurutnya, meskipun aduan berkaitan bil elektrik lebih tinggi hanya melibatkan sebahagian kecil daripada kira-kira 830,000 pemegang akaun SESCO, setiap aduan tetap diberi perhatian kerana ia boleh memberi kesan kepada pelanggan dan keluarga mereka.
“Kami mendengar isu yang dibangkitkan pelanggan dan mahu membantu. Setiap isu akan diberi perhatian dan bantuan yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, bil elektrik yang lebih tinggi boleh berpunca daripada beberapa faktor termasuk peningkatan penggunaan elektrik, pelarasan selepas tempoh bacaan anggaran, baki tertunggak daripada bil terdahulu atau keadaan lain berkaitan akaun pelanggan.
“Setiap kes dinilai berdasarkan keadaan masing-masing. Kami sentiasa meneliti aduan dan rayuan secara adil dan, jika wajar, pelarasan atau pengecualian caj akan dibuat selepas semakan,” katanya.
Dalam pada itu, Yusri menjelaskan penggantian meter sedia ada kepada meter pintar tidak menyebabkan penggunaan elektrik atau tarif yang dikenakan meningkat secara automatik.
Katanya, Sarawak Energy turut menerima maklum balas positif daripada pengguna meter pintar terutama kemudahan untuk memantau penggunaan elektrik harian sekali gus membantu mereka mengurus penggunaan dengan lebih baik.
Sehingga kini, sebanyak 270,748 meter pintar telah dipasang di seluruh Sarawak.
Bagi memudahkan pelanggan mendapatkan bantuan secara bersemuka, kaunter khas urusan bil elektrik dibuka sepanjang September dan akan terus beroperasi dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang, Isnin hingga Jumaat.
Kaunter berkenaan disediakan di Wisma SESCO, Kuching; Pejabat Wilayah Sibu di Jalan Deshon; Bandar Baru Permyjaya, Miri dan Bintulu Town Square.
Pelanggan turut boleh mendapatkan bantuan menerusi Pusat Khidmat Pelanggan di 1300-88-3111, e-mel customercare@sarawakenergy.com, aplikasi mudah alih SEB cares atau mengunjungi mana-mana kaunter khidmat pelanggan Sarawak Energy.





