Penduduk Rumah Panjang Munggu Gernis nikmati parkir berbumbung lebih selesa

Facebook
WhatsApp
MAJLIS ringkas projek naik taraf tempat letak kereta berbumbung di Rumah Panjang Munggu Gernis, hari ini. Foto Douglas Uggah Embas Official

SPAOH: Penduduk Rumah Panjang Munggu Gernis kini menikmati kemudahan tempat letak kereta berbumbung yang lebih teratur, selesa dan praktikal selepas projek naik taraf kemudahan berkenaan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) siap sepenuhnya.

Kemudahan itu bukan sahaja menyediakan ruang parkir yang lebih tersusun, malah memberi perlindungan kepada kenderaan daripada panas dan hujan, khususnya ketika rumah panjang berkenaan menerima kunjungan atau menganjurkan aktiviti komuniti.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata penyediaan kemudahan berkenaan penting bagi melengkapkan keperluan prasarana di rumah panjang tersebut.

“Bila ada ruang letak kereta yang khusus dan berbumbung, penduduk tidak lagi perlu terlalu bimbang apabila cuaca panas atau hujan.

KEMUDAHAN tempat letak kereta berbumbung yang baharu dinaik taraf menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah Panjang Munggu Gernis, Spaoh. Foto Douglas Uggah Embas Official

“Pada masa yang sama, kenderaan dapat disusun dengan lebih teratur apabila ramai yang datang ke rumah panjang,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, kemudahan itu turut mengambil kira peranan rumah panjang sebagai pusat kehidupan dan aktiviti masyarakat setempat.

“Rumah panjang bukan sahaja tempat tinggal, tetapi juga menjadi tempat masyarakat berkumpul dan menjalankan pelbagai urusan.

“Jadi, ruang seperti ini dapat memberi lebih keselesaan kepada penduduk dan tetamu setiap kali ada kegiatan atau kunjungan,” katanya.

Projek berkenaan dilaksanakan oleh Bukit Lesung Enterprise dan disiapkan sepenuhnya mengikut jadual serta mematuhi spesifikasi yang ditetapkan oleh agensi pelaksana, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Betong.

Sesi serah siap yang berlangsung hari ini turut dihadiri wakil JKR Bahagian Betong, wakil Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban, wakil kontraktor Bukit Lesung Enterprise serta Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Munggu Gernis.

Sementara itu, Tuai Rumah Entinggang, merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Amar Douglas Uggah serta kerajaan Sarawak atas perhatian terhadap keperluan penduduk.

Menurutnya, kemudahan tempat letak kereta berbumbung itu amat membantu komuniti, terutama apabila rumah panjang menerima tetamu atau mengadakan aktiviti bersama.

Dengan siapnya projek berkenaan, penduduk dan pengunjung kini dapat menikmati kemudahan parkir yang lebih teratur dan selesa, sekali gus meningkatkan keselesaan serta keceriaan persekitaran Rumah Panjang Munggu Gernis.

Oleh Adi Safarman