89 penerima terima RM1.23 juta peruntukan MRP di DUN Kemena

Facebook
WhatsApp
DATO Sri Dr Stephen Rundi Utom bergambar bersama penerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) pada majlis penyerahan Cek MRP bagi kawasan DUN Kemena di Pejabat Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu, hari ini.

BINTULU: Seramai 89 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemena menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM1.23 juta bagi membantu melaksanakan pelbagai projek yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, peruntukan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan keperluan masyarakat di kawasan luar bandar terus diberi perhatian.

Menurutnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, peruntukan MRP perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi melaksanakan projek yang benar-benar diperlukan oleh penduduk.

Menurut beliau, selain memastikan bantuan disalurkan kepada penerima yang layak, pihaknya turut berusaha mengenal pasti rumah panjang yang masih belum pernah mengemukakan permohonan MRP.

“Saya melihat senarai rumah panjang yang telah diiktiraf oleh Pegawai Daerah dan mendapati terdapat rumah panjang yang tidak pernah mengemukakan permohonan.

“Sebagai wakil rakyat, saya perlu mengenal pasti rumah panjang berkenaan supaya mereka turut diberi peluang menerima bantuan kerajaan,” katanya pada majlis penyerahan cek MRP bagi kawasan DUN Kemena di Pejabat Jabatan Pertanian Bahagian Bintulu, hari ini.

Rundi berkata, pendekatan berkenaan penting bagi memastikan agihan peruntukan tidak hanya tertumpu kepada penerima sama secara berulang, sebaliknya turut memberi peluang kepada komuniti yang belum pernah menerima bantuan.

Katanya, masyarakat setempat juga perlu memainkan peranan dengan membantu mengenal pasti rumah panjang yang belum pernah memohon peruntukan supaya tiada komuniti tercicir daripada menikmati manfaat pembangunan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan ketua rumah panjang supaya memastikan setiap projek atau bantuan yang diterima dimaklumkan kepada penduduk dan dibincangkan dalam mesyuarat secara terbuka serta telus.

“Mesyuarat perlu diadakan sekurang-kurangnya empat kali setahun. 

“Minit mesyuarat pula perlu disediakan dan dihantar kepada Pegawai Daerah sebagai rekod rasmi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat agar memberi perhatian terhadap isu penyalahgunaan dadah dan perjudian dalam talian yang boleh membawa kesan buruk kepada individu serta keluarga, termasuk masalah hutang dan tekanan.

Oleh Carolyne Utih