KUCHING: Sebanyak 13 daripada 20 stesen pemantauan kualiti udara di Sarawak merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 8.00 malam.
Serian mencatatkan bacaan 185 manakala Samarahan dan Lundu masing-masing merekodkan IPU 179, diikuti Kuching (177) serta Sarikei (176).
Kawasan lain yang berada pada tahap tidak sihat ialah Samalaju dengan bacaan 163, Lubok Antu dan Betong masing-masing (161), Kanowit (160), Tebedu (159), Sri Aman (158) serta Sibu dan Mukah masing-masing (155).
Sementara itu, tujuh stesen yang mencatat IPU sederhana ialah Bintulu (91), Miri dan Lawas masing-masing (87), ILP Miri (84), Kapit (79), Limbang (75) serta Bario (59).
Berbanding bacaan 4.00 petang, IPU Serian meningkat daripada 182 kepada 185, manakala Kuching naik daripada 172 kepada 177 dan Samarahan daripada 175 kepada 179.
Dalam tempoh sama, Sarikei yang sebelum ini merekodkan bacaan tertinggi 184 menurun kepada 176, manakala Lundu turun sedikit daripada 180 kepada 179.
Tiada stesen di Sarawak merekodkan IPU pada tahap sangat tidak sihat, berbahaya atau sangat berbahaya setakat 8.00 malam.





