LUNDU: Keadaan panik berlaku di Hospital Lundu apabila terdapat kepulan asap keluar dari bangunan hospital tersebut kira-kira jam 6.40 petang semalam.
Akibat kejadian itu bangunan hospital dikosongkan dan semua pesakit dibawa keluar ke tempat berkumpul.
Pusat Gerakan Operasi (PGO Sarawak) menerima panggilan kecemasan dari kawalan Lundu memaklumkan kejadian berkenaan jam 6.48 petang.
Pasukan Bomba Lundu dengan kekuatan seramai tujuh anggota yang diketuai PBK II Pathi Samsudin bergerak ke lokasi dan mendapati kebakaran melibatkan “water pump” air di luar bangunan yang digunakan untuk menyalurkan air ke bilik Wad hospital tersebut.
Kebakaran bagaimanapun tidak melibatkan kerosakan struktur bangunan hospital.
Menurut Ketua Balai Bomba Lundu. PPgB Putra Ila, api pada awalnya telah dapat dipadam sepenuhnya oleh pihak hospital tersebut dengan menggunakan 5 unit alat pemadam api jenis debu kering.
Pasukan bomba yang tiba di lokasi seterusnya membuat pemantauan untuk memastikan semuanya selamat dan terkawal. Setelah memastikan keadaan selamat dan terkawal operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.25 malam.
Kebakaran tersebut dikatakan berpunca daripada kejadian litar pintas.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.