DEBAK: Penduduk Rumah Panjang Nanga Pek kini menikmati sistem perparitan yang lebih baik susulan siapnya projek naik taraf sistem perparitan di kawasan berkenaan di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Projek berkenaan dilaksanakan bagi menambah baik sistem saliran sedia ada, sekali gus membantu melancarkan aliran air serta mengurangkan masalah berkaitan perparitan, khususnya ketika hujan.
Penambahbaikan itu turut mewujudkan persekitaran rumah panjang yang lebih teratur dan selesa selain membantu pengurusan aliran air dengan lebih berkesan.
Kerja-kerja naik taraf telah disiapkan sepenuhnya mengikut spesifikasi serta jadual yang ditetapkan.
Sesi serah siap projek yang berlangsung hari ini turut dihadiri wakil Pejabat Residen Bahagian Betong, Ramsay Selat; wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bahagian Betong, Rosli Tila; wakil Pejabat Daerah Kecil Debak; wakil Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban serta wakil kontraktor Suriaja Enterprise.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata sistem perparitan yang berfungsi dengan baik amat penting bagi memastikan kawasan rumah panjang sentiasa selesa dan terurus.
“Bila sistem saliran tidak sempurna, ia boleh menimbulkan masalah kepada penduduk terutama ketika hujan. Dengan kerja naik taraf ini, kita harap aliran air dapat dikendalikan dengan lebih baik dan keadaan di sekitar rumah panjang menjadi lebih selesa,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata penyelesaian terhadap keperluan kemudahan asas seperti sistem perparitan memberi kesan langsung terhadap kehidupan seharian masyarakat.
“Keperluan seperti ini mungkin kelihatan kecil, tetapi kesannya dirasai oleh penduduk. Sebab itu apabila terdapat masalah yang perlu ditangani, kita cuba cari penyelesaian yang sesuai mengikut keadaan di kawasan berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Tuai Rumah Unjie, merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Amar Douglas Uggah serta kerajaan Sarawak atas perhatian dan peruntukan RTP yang membolehkan projek tersebut direalisasikan.
Beliau berkata penambahbaikan sistem perparitan amat dihargai kerana menyediakan kemudahan yang lebih baik dan memberi manfaat secara langsung kepada penduduk rumah panjang.
Pelaksanaan projek tersebut memperlihatkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memenuhi keperluan asas masyarakat luar bandar, termasuk kemudahan saliran yang penting bagi memastikan kawasan penempatan lebih selesa dan terurus.
Dengan siapnya projek itu, sistem perparitan di Rumah Panjang Nanga Pek kini lebih berfungsi, sekali gus membantu meningkatkan keselesaan penduduk serta pengurusan aliran air di kawasan berkenaan.
Oleh Adi Safarman




