KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 17 September ini untuk mendengar bukti tambahan daripada saksi pendakwaan, Rayyan Radzwill Abdullah, dalam kes projek solar hibrid membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin menetapkan tarikh berkenaan selepas peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh memaklumkan kepada mahkamah bahawa Mahkamah Rayuan memutuskan membenarkan permohonan Rosmah untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya serta memerintahkan supaya bukti tambahan itu direkodkan Mahkamah Tinggi.
“Saya perlu menetapkan tarikh kerana perintah Mahkamah Rayuan itu agak jelas. Saya fikir kita akan menetapkan tarikh pendengaran selaras dengan perintah Mahkamah Rayuan sehingga permohonan penangguhan diluluskan.
“Sekiranya penangguhan diberikan, kita akan menentukan langkah seterusnya. Jika tidak, kita akan meneruskan prosiding seperti yang diperintahkan Mahkamah Rayuan. Jika saya tidak mematuhi perintah itu, saya akan dianggap menghina mahkamah,” kata Hakim Aslam sebelum menetapkan 17 September sebagai tarikh pendengaran.
Pada 1 September, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuannya terhadap sabitan dan hukuman berhubung kes projek solar hibrid Sarawak bernilai RM1.25 bilion.
Panel tiga hakim membenarkan Rosmah mengemukakan bukti tambahan melibatkan saksi pendakwaan ke-16, Rayyan Radzwill Abdullah, melalui pemeriksaan balas lanjut dan pemeriksaan semula.
Terdahulu, Jagjit berkata Mahkamah Rayuan telah mengeluarkan perintah khusus supaya pengurusan kes diadakan hari ini dan mengarahkan Mahkamah Tinggi merekodkan keterangan tambahan itu dalam tempoh dua minggu.
“Mahkamah Rayuan juga telah menetapkan pendengaran rayuan jenayah itu disambung pada Oktober, menyebabkan tempoh masa yang ada agak singkat. Pihak pendakwaan telah memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu tetapi tarikh pendengarannya masih belum ditetapkan. Kami memohon agar mahkamah meneruskan penetapan tarikh,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Deepa Nair memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan telah memfailkan notis rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 4 September lepas.
“Kami juga telah memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan pada 8 September dan saya telah menyemak bahawa tarikh pendengaran masih belum ditetapkan. Kami telah mengemukakan notis supaya perkara ini didengar segera, justeru, ia tidak akan mengambil masa yang lama.
“Berkemungkinan besar akan didengar minggu depan. Sehubungan dengan itu, kami memohon agar prosiding ini ditangguhkan sehingga permohonan penangguhan di Mahkamah Rayuan didengar,” katanya.
Beliau berkata rayuan Rosmah telah berlarutan sejak 2022 dan pihak pembelaan tidak akan terjejas sekiranya prosiding itu ditangguhkan lagi untuk tempoh hanya satu atau dua minggu.
Seorang lagi peguam Rosmah Datuk Akberdin Abdul Kader, membantah permohonan penangguhan itu, sambil berkata Mahkamah Rayuan telah mengarahkan agar perkara berkenaan diputuskan dalam tempoh dua minggu.
“Kami hanya memerlukan masa sehari. Saya yang menjalankan pemeriksaan balas di Mahkamah Tinggi sebelum ini dan akan mengendalikannya sekali lagi di sini,” katanya.
Rosmah, 74, memohon untuk mengemukakan bukti tambahan yang terdiri daripada laporan polis dan akuan berkanun yang disahkan Rayyan Radzwill.
Dalam akuan berkanun itu, Rayyan Radzwill antara lain mendakwa wujud tekanan pendakwaan ketika perbicaraan serta mengemukakan bahan dokumentari bagi mencabar kredibiliti keterangannya.
Pada 1 September 2022, Mahkamah Tinggi mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Beliau didapati bersalah meminta suapan berjumlah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.
Suapan itu sebagai dorongan untuk membantu Jepak Holdings mendapatkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion bagi membekalkan tenaga kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak daripada Kementerian Pendidikan.
Rosmah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan, yang berjalan serentak, selain didenda RM970 juta. Beliau diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuannya.- Bernama





