KUCHING: Usaha memperkukuh profesionalisme dan jaringan pengamal perhubungan awam di Sarawak mendapat momentum baharu menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Angkatan Zaman Mansang (AZAM) Sarawak dan Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM), semalam.
Pemeteraian memorandum berkenaan berlangsung sempena Pertunjukan Perhubungan Awam 2026, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama lebih tersusun dalam pembangunan profesional, peningkatan kompetensi, perkongsian kepakaran dan pengetahuan serta pembinaan jaringan dalam kalangan pengamal komunikasi.
Kerjasama itu turut memperkukuh cadangan penubuhan Cawangan IPRM Sarawak bersama AZAM Sarawak sebagai platform menghimpunkan serta menggalakkan penyertaan lebih aktif pengamal perhubungan awam dan komunikasi di seluruh negeri.
Pengarah IPRM Sarawak, Sahrein Maloh berkata, perkembangan kecerdasan buatan menjadikan peranan pengamal perhubungan awam semakin penting dalam mempertahankan kredibiliti, etika dan kepercayaan dalam persekitaran komunikasi yang semakin dipenuhi kandungan digital.
Menurutnya, walaupun kecerdasan buatan mampu menghasilkan kandungan dalam jumlah besar dalam masa singkat, teknologi itu tidak mampu menghasilkan kredibiliti, sekali gus menjadikan perhubungan awam penting sebagai penjaga kebenaran, etika dan kepercayaan masyarakat.
Sementara itu, Pengurus Komunikasi Strategik AZAM Sarawak, Mohd Hassnal Hakim Junaidi berkata, kerjasama itu bukan sekadar membabitkan jaringan institusi, sebaliknya merupakan pelaburan bagi meningkatkan keupayaan tenaga manusia yang menjalankan fungsi komunikasi.
“Bagi AZAM, komunikasi adalah sebahagian daripada fungsi utama kami. Sebab itu, jika kita mahu komunikasi yang lebih berkesan, kita juga perlu melabur dalam orang yang melaksanakannya.
“Kerjasama dengan IPRM memberi peluang kepada warga kerja AZAM untuk terus meningkatkan kompetensi dan belajar daripada jaringan profesional yang lebih luas. Pada masa sama, kita mahu peluang itu turut sampai kepada generasi seterusnya melalui AZAM Young Souls,” katanya dalam kenyataan , hari ini.
Beliau berkata, kerjasama itu tidak seharusnya hanya memberi manfaat kepada AZAM, sebaliknya perlu membuka ruang kepada komuniti perhubungan awam dan komunikasi yang lebih luas di Sarawak.
“Kita mempunyai ramai pengamal komunikasi yang berpengalaman dan berkebolehan di Sarawak. Apa yang diperlukan ialah lebih banyak ruang untuk mereka bertemu, berkongsi pengalaman, membina jaringan dan berkembang bersama.
“Sebab itu kita mahu menggalakkan lebih ramai pengamal PR di seluruh Sarawak untuk turut serta. Kita tidak mahu membina platform ini untuk AZAM sahaja, kita mahu membina satu komuniti profesional yang boleh memberi manfaat kepada industri komunikasi Sarawak,” katanya dalam kenyataan sama.
Kerjasama itu turut dimanfaatkan bagi pembangunan warga kerja AZAM, termasuk menerusi pendedahan kepada komunikasi strategik, hubungan media, pengurusan isu dan reputasi, komunikasi krisis serta penglibatan pihak berkepentingan.
Pada masa sama, AZAM Young Souls akan menjadi antara platform untuk memperluas pendedahan kepada generasi muda melalui perkongsian ilmu, pembangunan kemahiran, bimbingan serta interaksi dengan pengamal industri.
Pemeteraian memorandum persefahaman itu sekali gus menyediakan asas kepada hubungan jangka panjang antara AZAM dan IPRM dalam usaha membina ekosistem perhubungan awam Sarawak yang lebih profesional, terhubung dan bersedia menghadapi perubahan landskap komunikasi.





