KUCHING: Pameran Hari Malaysia 2026 menjadi platform untuk membantu masyarakat memahami sejarah pembentukan Malaysia berdasarkan fakta dan dokumen, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Beliau berkata, pameran berkenaan mengetengahkan perjalanan pembentukan Malaysia yang melibatkan Sarawak, Sabah dan Persekutuan Tanah Melayu, termasuk peranan tokoh serta proses rundingan yang membawa kepada pembentukan negara.
“Yang paling penting dalam pameran ini ialah dokumen-dokumen. Saya rasa warga ramai agak keliru tentang pelbagai perkara yang melibatkan pembentukan Malaysia,” katanya ketika sesi pratonton pameran di Plaza Merdeka, di sini, hari ini.
Menurut Abdullah, usaha berkenaan penting bagi memastikan masyarakat, khususnya generasi muda, memperoleh fakta yang tepat mengenai sejarah negara dalam menghadapi pelbagai tafsiran dan maklumat di media sosial.
“Kita tidak mahu keliru. Kita ambil kesempatan daripada Hari Malaysia yang diadakan di Sarawak ini untuk meletakkan fakta yang betul dalam satu persepsi yang betul supaya kita tidak keliru,” katanya.

Beliau turut menggesa rakyat Malaysia mengetepikan perbezaan dan membina semangat kebersamaan serta kebanggaan terhadap negara sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September.
Sementara itu, pameran utama di Atrium Utama, Plaza Merdeka berlangsung dari 10 hingga 16 September, bermula 10.00 pagi hingga 10.00 malam dan dibuka kepada orang ramai.
Lima segmen utama dipaparkan iaitu Denai Masa Pembentukan Malaysia, Dokumen Pembentukan Malaysia, Jawatankuasa dan Suruhanjaya Pembentukan Malaysia, Galeri Tokoh serta Galeri Kenegaraan: Jejak Identiti Malaysia.
Antara dokumen yang dipamerkan termasuk Laporan Suruhanjaya Cobbold 1962, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962, Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963 serta Watikah Pemasyhuran Malaysia 1963.
Selain pameran utama di Kuching, pameran mini turut diadakan di 10 bahagian di Sarawak, selain lokasi tambahan di Sabah dan Putrajaya.
Pengunjung juga berpeluang menyertai Kuiz Kenegaraan dan Kahoot, menyaksikan persembahan PENTARAMA serta mengikuti demonstrasi pemuliharaan dokumen oleh pihak Arkib.
Oleh Shikin Mahmud





