KUCHING: Sarawak mengambil langkah strategik untuk memperkukuh sektor bioekonomi dan bioteknologi menerusi pembangunan Hala Tuju Bioekonomi dan Bioteknologi 2026–2035.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg berkata, pelan hala tuju itu akan dibangunkan menerusi kerjasama strategik antara Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) dan BioVerde Technologies Sdn. Bhd.
Katanya, inisiatif berkenaan menyokong mandat SRDC dalam memperkukuh penyelidikan, pembangunan, inovasi dan komersialisasi, selain mempercepatkan peralihan Sarawak ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan dan bioekonomi yang mampan.
“Melalui rundingan dengan pihak berkepentingan, kajian saintifik dan penglibatan industri, pelan hala tuju ini akan mengenal pasti peluang dalam penyelidikan, inovasi, pelaburan dan komersialisasi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Persidangan Antarabangsa Sains, Kesihatan, Inovasi dan Kejuruteraan (SHInE) Sarawak 2026 di sini, hari ini.
Menurutnya, pelan berkenaan turut menyasarkan untuk meletakkan Sarawak sebagai hab bioekonomi dan bioteknologi terkemuka di rantau ini.
Katanya, inisiatif itu juga menjadi komponen penting dalam Koridor Inovasi SRDC yang menghubungkan penyelidikan, inovasi, bakat, industri dan pelaburan dalam satu ekosistem bersepadu.
“Matlamatnya adalah untuk mengubah idea kepada perusahaan dan nilai ekonomi jangka panjang,” katanya.
Abang Johari berkata, pembangunan bioekonomi itu penting kerana kekayaan biodiversiti Sarawak bukan sahaja merupakan khazanah semula jadi, malah menjadi antara aset strategik terbesar yang boleh dimanfaatkan menerusi penyelidikan dan inovasi secara bertanggungjawab.
Menurutnya, Sarawak mempunyai kawasan hutan yang luas dan antara hutan hujan tertua di dunia, sekali gus menyediakan sumber biodiversiti yang mempunyai potensi besar untuk diterokai bagi tujuan penyelidikan.
Beliau turut menggesa penyelidik meneroka potensi biodiversiti Sarawak, termasuk melalui kerjasama dengan Indonesia, khususnya di Kalimantan.
“Untuk kepentingan manusia, kita perlu menjalankan penyelidikan terhadap khazanah biodiversiti yang terdapat di Sarawak dan mungkin bekerjasama dengan Indonesia di Kalimantan,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, pembangunan ekonomi Sarawak kini tidak lagi hanya bergantung kepada sektor berasaskan sumber, sebaliknya sedang beralih kepada ekonomi bernilai tinggi dan berasaskan pengetahuan.
Katanya, antara bidang strategik yang diberi perhatian ialah bioteknologi, ekonomi digital, ekosistem semikonduktor, ekonomi hidrogen, tenaga boleh baharu, pertanian tepat dan pembuatan maju.
“Dalam konteks ini, inovasi bukan lagi pilihan, sebaliknya menjadi asas penting kepada pertumbuhan, daya saing dan kemakmuran Sarawak pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkukuh ekosistem penyelidikan juga perlu memastikan hasil kajian tidak terhad kepada makmal atau jurnal akademik semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada teknologi baharu, perkhidmatan kesihatan yang lebih baik, industri inovatif, peluang ekonomi dan perkhidmatan awam yang lebih berkesan.
Tambahnya, kerjasama antara kerajaan, universiti, institusi penyelidikan, industri, pelabur dan rakan antarabangsa perlu terus diperkukuh bagi memastikan hasil penyelidikan dapat diterjemahkan kepada inovasi serta kejayaan komersial.
“SHInE menjadi platform penting untuk menghubungkan sektor-sektor ini, menggalakkan kerjasama bermakna dan mempercepatkan proses menterjemahkan penyelidikan kepada inovasi dan akhirnya kejayaan komersial,” katanya.
Terdahulu, beliau berkata, Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) turut memainkan peranan dalam menterjemahkan penyelidikan kepada impak sebenar melalui program pengawasan penyakit berasaskan komuniti, termasuk pemantauan penyakit berjangkit di kawasan luar bandar.
SIDC turut mempunyai lebih 30 kerjasama aktif, termasuk dengan Murdoch University, Inisiatif Genomik Patogen Asia (Asia PGI) dan UK-SEA Vax Hub dari United Kingdom.
Abang Johari berkata, kerjasama itu membuka laluan kepada pembangunan vaksin, pengawasan genomik, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat bioperubatan Sarawak.
Beliau berkata, Sarawak akan terus melabur dalam pendidikan STEM, keupayaan penyelidikan, inovasi, keusahawanan dan pembangunan kepimpinan bagi memastikan pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan disokong bakat tempatan.
Oleh Afiq Sallehi




