Impian Jessie Paya sambung pengajian tidak kesampaian – Rakan karib

Facebook
WhatsApp
IMPIAN mendiang Jessie Paya Jok, 44, untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kebidanan tahun hadapan tidak kesampaian selepas terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang pada Selasa.

KUCHING: Impian jururawat Jessie Paya Jok, 44, untuk melanjutkan pengajian tidak kesampaian apabila terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang, pada Selasa.

Sahabatnya Caroline Sawai Joseph Chungat, 43, yang merupakan jururawat di Hospital Miri berkata Jessie atau lebih mesra disapa Paya, pernah memaklumkan kepadanya bahawa bulan ini merupakan penglibatan terakhirnya dalam FDS.

“Itu perbualan terakhir antara saya dan Paya pada bulan lepas, dengan penuh teruja dia memaklumkan bahawa bulan ini penglibatan terakhir dia dalam FDS kerana tahun hadapan dia merancang melanjutkan pengajian dalam Advanced Diploma in Midwifery.

“Namun, hasrat serta impian murni Paya melanjutkan pengajian itu tidak kesampaian, itulah cita-citanya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Caroline berkata beliau mengenali Paya sejak tahun 2005, sewaktu mereka bersama-sama menjadi pelatih Jururawat Masyarakat di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Serian.

MORGAN Moset, 39, adik kepada jururawat Debra Moset yang terkorban dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Ulu Baram pada Selasa. Foto BERNAMA

Sepanjang 21 tahun perkenalan, Paya disifatkan sebagai seorang berjiwa lembut, tidak banyak berbicara, namun sentiasa menceriakan suasana sekelilingnya dengan senyuman dan tawa.

“Keperibadian Paya begitu menyentuh hati kerana dalam tempoh lebih dua dekad mengenalinya, saya tidak pernah sekali pun melihat dia meluahkan rasa marah mahupun meninggi suara kepada sesiapa.

“Kebaikan dan pengorbanan Paya turut terserlah sewaktu dia bertugas di Klinik Kesihatan Bario, dengan ketulusan hatinya telah menambat kasih sayang seluruh penduduk kawasan pedalaman berkenaan,” katanya.

Caroline berkata kebaikan Paya terserlah ,apabila beliau sanggup sanggup menggunakan wang sendiri untuk membiayai tambang perjalanan pesakit yang perlu dirujuk ke Hospital Miri, bagi mendapatkan rawatan.

 “Tidak ramai insan yang mampu mempamerkan kemuliaan hati sedemikian rupa buat pesakit yang tiada pertalian darah, namun Paya membuktikannya menerusi dedikasi tinggi serta sikap tidak pernah merungut biarpun berdepan bebanan tugas yang menguji ketahanan mental dan fizikal,” katanya.

Selain Paya, Caroline turut mengenali seorang lagi jururawat terkorban dalam nahas itu iaitu Debra Moset, 40, yang dikenali dengan perwatakan mesra, mudah didekati, dan gemar bergurau senda.

“Hubungan kami terjalin sewaktu berkhidmat bersama di Klinik Kesihatan Jambatan Suai selama enam tahun, sebelum masing-masing berpindah ke tempat lain dan dipertemukan semula pada 2019 ketika mengambil program Peningkatan Secara Lantikan (PSL).

“Debra seorang teliti dan bertanggungjawab dalam tugasan, dia juga dikenali sebagai seorang jururawat penyayang di mata pesakit di Klinik Kesihatan Jambatan Suai,” katanya.

Caroline berkata perbualan terakhirnya bersama Debra ialah pada Februari lepas dan hanya berkisar tentang kerja.

Pada Selasa, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang, terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport). 

Selain Jessie dan Debra, mangsa lain yang terkorban ialah juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, 33, dan pembantu perubatan Alexson Adit Henry, 31.- Bernama