Hari Malaysia: Renungan sejenak

Facebook
WhatsApp

PADA Rabu depan, 16 September, genap 63 tahun usia penuh negara bernama Malaysia.

Malaysia pada usia 63 tahun sepatutnya seperti manusia 63 tahun – masih bertenaga, tetapi sudah cukup pengalaman untuk tidak mengulangi kesilapan lama, masih berani mencuba tetapi lebih bijak mengira risikonya.

Dan seperti manusia, kematangan Malaysia tidak diukur melalui umur, tetapi melalui cara negara mengurus perbezaan, kekayaan, kuasa, krisis dan masa depannya.

Usia 63 bukan sekadar angka. Ia biasanya menggambarkan seseorang yang sudah melalui banyak pengalaman, krisis, kejayaan dan perubahan zaman.

Manusia 63 tahun lazimnya:

  • Lebih matang dalam membuat keputusan – tidak mudah bertindak mengikut emosi.
  • Lebih tahu keutamaan hidup – tahu apa yang penting dan apa yang boleh diketepikan.
  • Lebih menghargai hubungan – pengalaman mengajar bahawa tidak semua perkara perlu dipertikaikan.
  • Lebih tahan menghadapi krisis – pernah melalui jatuh bangun kehidupan dan belajar daripada kesilapan.
  • Kaya pengalaman, tetapi pengalaman tidak semestinya bermakna seseorang itu sentiasa betul.
  • Masih boleh berubah dan belajar – umur 63 bukan bermakna sudah berhenti berkembang.
  • Lebih banyak memikirkan legasi – apa yang ditinggalkan untuk anak cucu dan generasi selepasnya.

Jadi kalau Malaysia diibaratkan manusia berusia 63 tahun, persoalannya bukan lagi ‘sudah tua atau belum?’ tetapi selepas 63 tahun, sudahkah Malaysia menjadi negara yang matang?

MA63

Sebab usia dan kematangan adalah dua perkara berbeza. Seseorang boleh berusia 63 tahun tetapi masih membuat keputusan seperti orang muda yang terburu-buru. Begitu juga sesebuah negara boleh berusia 63 tahun, tetapi masih bergelut dengan persoalan asas yang sepatutnya sudah lama diselesaikan.

KOMPLEKS Satria Pertiwi di Petra Jaya merupakan pejabat baharu Premier Sarawak. Foto JKR

Oleh itu perlu kerap direnung ungkapan bersejarah mendiang Tun Jugah Barieng, berbunyi: ‘Anang Malaysia baka tebu, manis dipun tabar di hujung’ (Janganlah Malaysia seperti tebu, manis pada permulaan tetapi tawar di penghujung.”

Satu lagi ialah kata-kata Pehin Sri Adenan Satem atau lebih dikenali sebagai ‘Tok Nan’ berbunyi: Jaga Sarawak bait-bait (Jaga Sarawak baik-baik) juga sentiasa dalam ingatan rakyat bumi bertuah ini.

Di sinilah banyak persoalan yang masih berlegar pada pemikiran anak Bumi Kenyalang – Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) banyak lagi belum dipenuhi. Memang kita tetap bersyukur apabila beberapa perkara dalam MA63 berjaya ditunaikan. Cuma kita minta jangan ‘digula-gulakan’ isu ini menjelang pilihan raya umum nanti.

Ketika negara dan dunia semakin maju, rakyat masih gelisah dengan masalah internet, bekalan air dan elektrik terutama di luar bandar dan pedalaman.

Sepatutnya perkara asas seperti ini sudah jauh berkurangan setelah lebih separuh abad kita merdeka.

Kalau ibarat manusia biasa, perkara asas seperti memiliki rumah sendiri dan kereta sudah lama dalam genggaman tatkala memasuki usia emas. Pada usia warga emas beginilah, seseorang sentiasa mengukir senyuman melihat kejayaan dan kesejahteraan anak cucu untuk hidup lebih bahagia berbanding kesusahan ditempohi sebelum Sarawak merdeka.

Kita sedar betapa usaha gigih Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan pasukannya untuk memenuhi keperluan rakyat tetapi mereka di bawah termasuk agensi berkaitan perlu lebih cakna, prihatin dan dengar keluh kesah rakyat apabila berdepan masalah seperti ketiadaan bekalan air berikutan cuaca panas berjerebu, masalah internet dan isu bekalan  elektrik.

Biar rasa manis

Kita berharap Kerajaan Persekutuan terus memberi perhatian kepada Sarawak dan Sabah terutama bagi memenuhi janji MA63 dan laksanakannya, sekurang-kurangnya setelah lebih 60 tahun, ‘biar kemanisan tebu dirasai ke hujung’.

Isu amat penting sekarang ialah soal pembayaran khas yang kini masih berbentuk interim kerana jumlah bayaran khas tahunan itu belum dimuktamadkan di sebalik formula sudah dikemukakan kerajaan Sarawak.

Diharapkan ada berita baik esok pada mesyuarat berkaitan MA63 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Kota Kinabalu.

Sebenarnya MA63 sangat penting dan menjadi salah satu dokumen asas pembentukan Malaysia. Ia ditandatangani pada 9 Julai 1963 oleh wakil United Kingdom, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Kita juga hargai langkah Kerajaan Persekutuan apabila mengisytiharkan 16 September cuti umum untuk seluruh negara sejak 2010.

Sempena Hari Malaysia 16 September ini, mari kita sama-sama renung pencapaian 63 tahun, apa yang masih kurang dan apa yang perlu pihak berwajib laksanakan.

  • Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak

Naratif kuasa asing dan optik PAS

APABILA Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, memilih pentas Muktamar Tahunan PAS ke-72 untuk mengungkit satu pertemuan yang didakwanya

Kisah Lang Endang menentang rejim Brooke

KEBIASAANNYA apabila membicarakan mengenai gerakan penentangan terhadap pemerintahan Brooke di Sarawak, nama seperti Rentap, Ngumbang, Syarif Masahor, Bantin dan Liu

Kenali tatatanda di sepanjang landasan

APABILA kita menaiki kapal terbang pada waktu malam, kita akan melihat susunan lampu-lampu yang dipasang dengan kemas di sepanjang landasan.

Iklan haram dicabut, tapi siapa pasang?

SABAN masa kita dihidangkan dengan berita bergambar mengenai langkah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terutama majlis perbandaran dan dewan bandaraya menurunkan