BEKENU: Seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun maut selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pacuan empat roda (4WD) berhampiran Simpang Kampung Rancha-rancha, Jalan Persisiran Pantai Miri-Bintulu, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohamad Farhan Lee Abdullah, berkata kemalangan itu berlaku kira-kira 8.00 malam.
Menurutnya, kereta yang dipandu mangsa dari arah Batu Niah menghala ke Miri, manakala pacuan empat roda berkenaan dipandu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dari arah Bekenu menuju ke Batu Niah.

Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan Hospital Miri kira-kira 8.26 malam.
Sementara itu, pemandu pacuan empat roda berkenaan mengalami kecederaan ringan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp. Nor Afifah Nordin, di talian 019-526 4640 atau 085-430 479.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada mana-mana balai polis berhampiran.
Oleh Adum Liu





