PUTRAJAYA: Malaysia bersedia menghulurkan bantuan sekiranya diperlukan oleh Indonesia bagi menangani kebakaran hutan dan tanah serta mengurangkan risiko jerebu rentas sempadan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata bantuan ditawarkan Malaysia merangkumi keupayaan pemadaman kebakaran dari udara termasuk operasi pengeboman air menggunakan helikopter, sokongan pemadaman menggunakan pesawat amfibia serta pelaksanaan operasi pembenihan awan.
“Bentuk dan skop bantuan akan diperincikan bersama-sama pihak Indonesia berdasarkan keperluan serta kesesuaian keadaan di lapangan selain tertakluk kepada persetujuan kedua-dua kerajaan.
“Keupayaan tersebut selaras dengan kesiapsiagaan bantuan yang telah dikenal pasti melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Meteorologi dan Tentera Udara Diraja Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Arthur berkata beliau telah mengutuskan surat kepada Menteri Lingkungan Hidup Indonesia Mohammad Jumhur Hidayat bagi menyatakan kesediaan Malaysia untuk menghulurkan bantuan.
Tawaran itu susulan perbincangan antara Arthur dan Mohammad Jumhur semasa pertemuan dua hala di Bali, Indonesia pada 8 Julai lepas dan juga panggilan telefon pada 24 Ogos.
“Kedua-dua negara telah menyatakan komitmen untuk memperkukuh tindakan pencegahan dan pemadaman awal dalam menghadapi risiko kebakaran serta jerebu merentas sempadan, khususnya dalam keadaan fenomena El Nino dan Monsun Barat Daya yang meningkatkan risiko cuaca panas serta kering di rantau ini,” katanya.
Penyelarasan pemberian bantuan akan dilaksanakan selaras dengan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentas Sempadan (AATHP) yang menggariskan bahawa negara anggota ASEAN boleh menawarkan bantuan tertakluk kepada permintaan dan persetujuan negara penerima.
Sehubungan dengan itu, Arthur berkata Malaysia menghormati sepenuhnya kedaulatan Indonesia dan bersedia memperincikan bentuk, skop dan penyelarasan bantuan bersama-sama pihak berkuasa Indonesia sekiranya tawaran itu diterima.
“Malaysia percaya cabaran kebakaran hutan, tanah dan jerebu merentas sempadan perlu ditangani melalui tindakan awal, koordinasi rapat serta semangat tanggungjawab bersama.
“Justeru, kerjasama erat antara Malaysia dan Indonesia amat penting bagi menangani keadaan semasa serta memperkukuh kesiapsiagaan kedua-dua negara menghadapi risiko yang mungkin meningkat sepanjang tempoh cuaca panas dan kering,” katanya.- Bernama





