Doktor udara kekal talian hayat penduduk pedalaman Sarawak

Facebook
WhatsApp
ZAHIR KESEDIHAN...Awang Tengah mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa tragedi helikopter terhempas di Long Lellang Baram.

LAWAS: Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) masih diperlukan di Sarawak walaupun beberapa kawasan pedalaman bakal dihubungkan melalui Lebuh Raya Pan Borneo dan Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR).

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata perkhidmatan berkenaan merupakan talian hayat kepada penduduk di kawasan pedalaman yang masih sukar dihubungi melalui jalan darat.

Menurut beliau, pengangkutan udara bukan sahaja membolehkan petugas kesihatan memberikan rawatan kepada penduduk, malah memudahkan pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan diterbangkan segera ke hospital terdekat.

“Perkhidmatan doktor udara adalah talian hayat kepada penduduk yang tinggal jauh di pedalaman.

“Pengangkutan udara mampu memberikan perkhidmatan rawatan kesihatan dan membawa pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan untuk diterbangkan segera ke hospital terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan lawatan kerja ke Pusat Maklumat Pelancongan di Kampung Paterikan, Merapok Laut, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Awang Tengah turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, semalam.

Beliau berkata, semua pihak perlu mengelakkan sebarang spekulasi berhubung punca kejadian sehingga siasatan rasmi selesai dijalankan.

“Kita begitu sedih perkara ini berlaku. Kita tengoklah hasil penyiasatan dan sepatutnya perkara sebegini tidak harus berlaku.

“Saya ucapkan takziah kepada semua keluarga yang terlibat dan diharap bersabar. Kita tunggulah laporan yang lengkap mengenai apa yang menjadi penyebab kejadian ini,” katanya.

Awang Tengah turut menyifatkan kehilangan petugas kesihatan yang berkhidmat dalam perkhidmatan doktor udara di pedalaman utara Sarawak sebagai satu perkara yang amat menyedihkan.

Sementara itu, perkhidmatan FDS dilaksanakan secara berkala, lazimnya sekali sebulan atau sekali dalam tempoh dua bulan, bergantung kepada keperluan dan lokasi kawasan yang dilawati.

Pasukan perubatan FDS terdiri daripada doktor, jururawat dan penolong pegawai perubatan yang memberikan rawatan bagi pelbagai masalah kesihatan am serta rawatan susulan kepada penduduk di kawasan pedalaman.

Hadir sama pada lawatan itu ialah Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong; Residen Bahagian Limbang, Yunus Tambi; Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa; Pegawai Daerah Lawas, Ladin Atok serta kenamaan lain.

Oleh Adeng Edrus