MIRI: Sebuah rumah teres dua tingkat musnah kira-kira 70 peratus dalam kebakaran di Taman Jelita, di sini, pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 10.41 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri Sentral kemudian dikerahkan ke lokasi dan tiba pada 10.58 pagi.
Menurut PGO, kebakaran membabitkan sebuah rumah berstruktur kekal berkeluasan kira-kira 25 x 60 kaki persegi.
“Pasukan bomba menggunakan satu aliran salur bantu mula (SBM) dan dua aliran hos hantaran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan pam jentera bagi memadam kebakaran.

“Sumber air diperoleh daripada pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu kerana pemilik rumah dan penghuni lain tiada di kediaman berkenaan ketika kebakaran berlaku.
Kebakaran berjaya dikawal pada 11.15 pagi sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 12.30 tengah hari selepas pemeriksaan akhir mendapati tiada lagi punca api.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling





