KUCHING: Kerajaan Sarawak menyalurkan sumbangan RM100,000 kepada setiap keluarga petugas Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) yang terkorban dalam nahas helikopter berhampiran Long Lellang, semalam.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersetuju supaya sumbangan itu disalurkan sebagai tanda keprihatinan bagi membantu meringankan beban keluarga mangsa.
Dalam kenyataan hari ini, Kerajaan Sarawak turut bersetuju menanggung sepenuhnya yuran pendidikan anak-anak petugas yang terkorban dan masih bersekolah melalui Yayasan Sarawak.
Kerajaan Sarawak menzahirkan rasa dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga serta waris mangsa.
Menurut kenyataan itu, para petugas sedang melaksanakan amanah membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang sukar dihubungi melalui jalan darat.
“Jasa, dedikasi, keberanian dan pengorbanan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman, amat besar nilainya,” menurut kenyataan itu.
Kerajaan Sarawak turut menyifatkan pemergian mereka sebagai kehilangan besar kepada keluarga, rakan seperkhidmatan dan seluruh rakyat Sarawak.
“Khidmat bakti mereka kepada masyarakat pedalaman dan rakyat Sarawak keseluruhannya akan terus dikenang dan tidak akan dilupakan.”
Bagi mangsa beragama Islam, kerajaan turut mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh, manakala keluarga yang ditinggalkan diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi kehilangan itu.
Oleh Shikin Mahmud





