KUCHING: Festival Kuih Bulan Antara Budaya Kuching 2026 (KIMF 2026) bakal berlangsung dari 15 hingga 26 September ini dengan menghimpunkan masyarakat pelbagai etnik dan budaya dalam meraikan warisan, makanan serta semangat kebersamaan.
Pengerusi Cawangan SUPP Batu Lintang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur KIMF 2026, Sih Hua Tong berkata, festival itu telah berkembang daripada sambutan tradisional Perayaan Pertengahan Musim Luruh masyarakat Cina kepada acara komuniti tahunan yang dinanti-nantikan di Kuching.
“Perayaan Pertengahan Musim Luruh membawa makna penyatuan, kebersamaan dan kesyukuran.
“Di Kuching, kita membawa semangat penyatuan ini lebih jauh dengan menjadikan KIMF bukan sahaja sebagai pertemuan keluarga, tetapi juga pertemuan budaya dan masyarakat,” katanya.
Menurut Sih, festival berkenaan turut mendapat penyertaan pelbagai persatuan Cina yang mewakili kepelbagaian dialek, budaya dan tradisi nenek moyang, selain peniaga serta pengunjung daripada pelbagai latar belakang etnik.
“Walaupun KIMF berakar daripada budaya Cina, ia kini berkembang menjadi sambutan komuniti yang terbuka dan inklusif serta boleh dinikmati masyarakat daripada pelbagai latar belakang,” katanya.
Beliau berkata, festival itu juga menyediakan platform kepada golongan muda, khususnya peniaga dan usahawan, untuk memperkenalkan makanan, produk serta idea kepada khalayak yang lebih luas.
“Festival kebudayaan bukan sahaja perlu memelihara warisan yang kita terima daripada generasi terdahulu, tetapi juga menyediakan ruang kepada generasi seterusnya untuk mengambil bahagian, menyumbang dan meneruskan semangat tersebut,” katanya.
KIMF 2026 akan dirasmikan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada 15 September.
Sih turut mengalu-alukan orang ramai tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang untuk menghadiri festival berkenaan serta menikmati pelbagai sajian, aktiviti kebudayaan dan suasana perayaan.
“Mari kita bersama-sama, di bawah bulan yang sama, dalam semangat warisan, interaksi dan kebersamaan,” katanya.
Oleh Connie Chieng




