KSN ucap takziah kepada keluarga mangsa nahas helikopter FDS KKM

Facebook
WhatsApp
TAN Sri Shamsul Azri Abu Bakar merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada seluruh ahli keluarga, sahabat serta rakan sekerja petugas kesihatan dan kru Perkhidmatan Doktor Udara (FDS).

KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar merakamkan ucapan takziah dan simpati kepada seluruh ahli keluarga, sahabat serta rakan sekerja petugas kesihatan dan kru Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) Kementerian Kesihatan (KKM) yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, petang semalam

Menerusi hantaran di media sosial “X” hari ini, Shamsul Azri turut mendoakan agar segala jasa dan pengorbanan dicurahkan demi kesihatan serta kesejahteraan masyarakat terus menjadi amal jariah yang berkekalan.

“Ingatan dan doa saya kepada ahli keluarga dan waris mangsa yang terkorban agar diberikan ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi musibah ini,” katanya.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.

KKM dalam kenyataan memaklumkan helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi. – Bernama