Nahas helikopter: Kerajaan akan beri bantuan kepada keluarga mangsa – PM Anwar

Facebook
WhatsApp
SEBUAH helikopter BO-105 yang membawa lima penumpang termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), kira-kira 929 kilometer dari Kuching semalam. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memberikan segala bantuan dan sokongan diperlukan kepada keluarga lima mangsa yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, petang semalam.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini.

Anwar berkata beliau turut berdukacita menerima khabar nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) itu yang membawa empat petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan seorang juruterbang.

“Ingatan serta doa saya dan (isteri) Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) bersama keluarga kesemua mangsa yang sedang melalui detik yang begitu berat ini.

“Moga mereka dikurniakan kekuatan dan ketabahan. Saya mohon semua pihak memberikan ruang kepada ahli keluarga serta mengelakkan sebarang spekulasi sementara menanti maklumat sah daripada pihak berkuasa,” katanya.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam kenyataan memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.

KKM dalam kenyataan memaklumkan helikopter yang berlepas dari Miri itu dikendalikan seorang juruterbang dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.

Antara mangsa disahkan oleh keluarga ialah Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 31, dan Dr Ainul Baraah Kamarudin, 32. – Bernama