“Kami dah ada janji dengan orang di sana” – kata-kata terakhir doktor sebelum nahas helikopter

Facebook
WhatsApp
HELENA berkongsi gambar di Facebook miliknya dimana mangsa nahas helikopter berehat di kedai runcit bapanya di Long Siut sebelum berlepas ke Long Lellang semalam. Foto Helena YG

MARUDI: Sebuah perkongsian menyentuh hati di media sosial mengenai pengorbanan petugas kesihatan kini tular susulan nahas helikopter yang terhempas di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Marudi, petang semalam.

Menerusi catatan di Facebook, Helena YG menceritakan detik terakhir pasukan perubatan yang singgah berehat di kedai runcit milik bapanya di Long Siut sebelum meneruskan penerbangan ke Long Lellang.

Menurutnya, ketika menunggu juruterbang mengisi minyak helikopter, beberapa anggota pasukan perubatan sempat menikmati minuman dan berbual dengan ibunya.

Dalam perbualan itu, salah seorang doktor mengakui keadaan jerebu ketika ini agak teruk.

“Auntie, teruk betul cuaca jerebu sekarang,” kata doktor berkenaan.

Namun apabila ditanya mengapa mereka tetap meneruskan perjalanan walaupun cuaca kurang baik, jawapan yang diberikan cukup menyentuh perasaan.

“Tak dapat auntie, kami dah ada janji dengan orang di sana,” jawab doktor tersebut, merujuk kepada tanggungjawab mereka terhadap penduduk yang menanti perkhidmatan kesihatan di kawasan pedalaman.

Perkongsian itu mengundang rasa sebak dan penghormatan ramai terhadap dedikasi petugas kesihatan yang sanggup meredah cabaran demi menjalankan amanah kepada masyarakat.

“Hormat sangat dengan pengorbanan petugas kesihatan kita,” tulis Helena dalam hantarannya.

Terdahulu, sebuah helikopter yang membawa lima individu termasuk juruterbang dilaporkan terhempas di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian tersebut dan memaklumkan notifikasi diterima daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang.

Menurut CAAM, helikopter berkenaan sedang menjalankan operasi Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) ketika insiden berlaku.

Oleh Adi Safarman