Tun Wan Junaidi, Toh Puan Fauziah dukacita lima mangsa nahas helikopter

Facebook
WhatsApp
TAKZIAH… Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga lima mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Baram, hari ini.

PETRA JAYA: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menzahirkan rasa amat dukacita susulan pemergian lima individu dalam nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) di Long Lellang, Baram, hari ini.

Kedua-duanya merakamkan salam takziah dan simpati kepada keluarga serta insan tersayang lima mangsa yang terkorban iaitu Kapten Zainol, Dr Ainul, PPP Alexson Adit, SN Debra Moset dan SN Jessie Paya.

Menurut kenyataan hari ini, kehilangan mangsa amat dirasai, terutama empat daripada mangsa merupakan petugas kesihatan yang sedang melaksanakan amanah membawa perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat pedalaman Sarawak.

Mereka menyifatkan tugas menerusi Perkhidmatan Doktor Udara sebagai khidmat yang amat besar nilainya kepada rakyat Sarawak, khususnya masyarakat pedalaman yang bergantung kepada perkhidmatan itu bagi mendapatkan rawatan dan penjagaan kesihatan.

“Pengorbanan dan khidmat bakti mereka akan sentiasa dikenang. Mereka pergi ketika sedang melaksanakan tanggungjawab dan amanah demi memberikan bantuan serta perkhidmatan kepada masyarakat yang memerlukan,” menurut kenyataan itu.

Tun Wan Junaidi dan Toh Puan Fauziah turut mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

Mereka turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan, pasukan Bomba dan Penyelamat, petugas kesihatan, pihak berkuasa serta masyarakat setempat yang terlibat dalam operasi di lokasi kejadian.

Bagi mangsa beragama Islam, mereka mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan menempatkan mereka dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh, manakala bagi mangsa bukan beragama Islam, semoga roh mereka bersemadi dengan aman.

“Salam takziah kepada seluruh keluarga mangsa. Sarawak turut berdukacita atas kehilangan lima insan yang telah mencurahkan khidmat dan bakti kepada masyarakat.”