KUALA LUMPUR: Biarpun pergerakannya terbatas selepas diserang strok, pengarah drama dan filem Murali Abdullah masih berhasrat untuk kembali mengarah menerusi sebuah filem komedi bertajuk ‘Mamak Bikin Filem’.
Murali, 63 berkata idea filem itu disimpannya sejak sekitar dua tahun lepas dan sinopsisnya telah siap, namun beliau masih memerlukan dana daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) bagi menulis skrip penuh sebelum mendapatkan pembiayaan untuk menerbitkannya.
“Filem itu mengenai seorang pemilik restoran mamak yang mahu membuat filem, tetapi dia mahu menjimatkan kos dan memotong segala peruntukan.
“Sehinggakan reflektor lampu pun dia menggunakan tudung periuk, tetapi itu memang cerita kelakar kerana sudah sampai masanya kita menghasilkan cerita yang boleh membuatkan manusia relaks,” katanya selepas menerima sumbangan FINAS yang disampaikan oleh Pengerusinya Datuk Dr Hans Isaac, menerusi Program Ziarah Seni MADANI, di sini hari ini.
Murali, yang meraih anugerah Pengarah Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2008 menerusi “Suara Saleha” berharap FINAS dapat mempertimbangkan kekangan pergerakannya dalam proses mendapatkan dana penulisan skrip, selain membuka ruang untuknya berkongsi pengalaman dengan generasi baharu.
“Saya berhasrat untuk kembali mengarah dan kembali mendidik, macam ‘Murali is back’,” katanya.
Beliau berkata karya terakhir arahannya dihasilkan sekitar tiga tahun lepas dan sejak itu beliau tidak lagi menerima tawaran, yang dipercayai berpunca daripada keterbatasan pergerakannya, meskipun keupayaan berfikir serta kreativiti seninya tidak terjejas.
Menurutnya, beliau kini tidak mempunyai sumber pendapatan dan bergantung pada sumbangan rakan-rakan, manakala bantuan yang pernah diterima daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) selama kira-kira setahun terhenti tahun lepas selepas beliau tidak memperbaharui permohonan berkenaan.
“Pendapatan memang tidak ada dan itulah yang menyukarkan saya, jadi bantuan FINAS ini penting untuk kehidupan, bukannya untuk kita menjadi kaya,” katanya.
Mengenai keadaan kesihatannya, Murali berkata beliau didiagnosis menghidap penyakit jantung reumatik ketika berusia 20 tahun dan menjalani pembedahan pada 1999, sebelum diserang strok pada 2011 dan 2018 serta serangan jantung tahun lepas.
Sementara itu, Hans berkata FINAS akan meneliti permintaan Murali, namun tidak dapat memberikan sebarang jaminan serta-merta memandangkan perkara itu perlu melalui proses ditetapkan.
“Apa yang boleh saya janjikan ialah perkara ini akan diberikan perhatian serius kerana proses tetap perlu dipatuhi dalam agensi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata sumbangan menerusi program berkenaan bersifat bantuan jangka pendek dan FINAS perlu mencari penyelesaian menyeluruh dengan memanfaatkan pengalaman penggiat senior sebagai penulis skrip serta tenaga pengajar dalam bidang pengarahan dan lakonan.
Hingga kini, seramai 233 penggiat industri kreatif tempatan menerima manfaat di bawah Program Ziarah Seni MADANI sejak diperkenalkan pada 2023, melibatkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM173,256. – Bernama





