Dr Ainul antara terkorban, baru dua hari kembali ke Sarawak

Facebook
WhatsApp
LIMA individu termasuk seorang juruterbang disahkan maut selepas helikopter dinaiki terhempas berhampiran Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), petang tadi.

KOTA BHARU: “Baru dua hari anak saya (Dr Ainul ) kembali ke Sarawak selepas pulang bercuti di Kelantan selama seminggu, hari ini kami mendapat berita helikopter dinaikinya terhempas dan meninggal dunia.”

Demikian luahan Kamaruddin Salleh, 69, iaitu bapa kepada Dr Ainul Baroah, 32, iaitu seorang daripada penumpang helikopter yang dilaporkan terhempas dan terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, petang tadi.

Laporan laman web Berita Harian malam ini menyebut Dr Ainul yang juga anak keempat daripada lima beradik itu baru berkhidmat sebagai doktor secara tetap kira-kira dua tahun dan bertugas di Hospital di Miri.

“Pada mulanya saya menerima panggilan daripada besan yang memaklumkan helikopter dinaikinya terhempas dan masih tidak tahu keadaannya. Selepas itu saya menerima panggilan kali kedua memaklumkan anak saya meninggal dunia.

“Isteri, Rogayah Mohd Noor, 69, sebaik menerima berita itu sangat terkejut dan kami sendiri tidak mampu berkata-kata. Disebabkan itu saya dan isteri belum lagi pergi ke Sarawak memandangkan keadaan isteri dalam keadaan tidak baik kerana terkejut selain mempunyai penyakit.

“Setakat ini, anak-anak selain keluarga besan berlepas ke Kuala Lumpur sebelum ke Sarawak pagi esok,” katanya seperti dipetik oleh Berita Harian.

Jelasnya, Dr Ainul seorang anak yang baik dan banyak membantu keluarga dan sifatnya juga seorang pendiam.

“Sepanjang seminggu pulang ke kampung, Ainul banyak membawa kami keluar berjalan-jalan memandangkan suaminya seorang guru, ” katanya.

Terdahulu, helikopter BO-105 membawa lima penumpang termasuk juruterbang dilaporkan terhempas di Long Lellang.

Pihak Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi satu kenyataan mengesahkan insiden berkenaan.

CAAM menerima notifikasi berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.

Selain Dr Ainul Baroah, empat mangsa lain dikenal pasti sebagai Kapten Zainol, penolong pegawai perubatan Alexson Adit dan dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya.