Bumbung, perparitan dan parkir dinaik taraf, penghuni Rumah Bia Juing tarik nafas lega

Facebook
WhatsApp
MOHAMAD Duri ketika menghadiri majlis perasmian projek RTP yang telah siap di Rumah Panjang Bia, Batu Burak, Roban, semalam. Foto: ADUN Kalaka

ROBAN: Pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah Panjang Bia Juing, Batu Burak, di sini, membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam memastikan pembangunan luar bandar terus diberi perhatian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, dua projek utama iaitu naik taraf bumbung rumah panjang serta pembinaan baharu sistem perparitan dan tempat letak kereta telah berjaya disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, penyerahan tapak bagi projek pembinaan baharu sistem perparitan dan tempat letak kereta di rumah panjang berkenaan telah disempurnakan pada 7 Oktober 2025 oleh Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi yang mewakilinya.

“Projek tersebut telah berjaya disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Manakala projek naik taraf bumbung Rumah Panjang Bia dilaksanakan oleh pihak Inda System yang dipilih menerusi proses cabut undi oleh Pejabat Residen Bahagian Betong dan turut berjaya disiapkan mengikut jadual,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis perasmian projek RTP yang telah siap di Rumah Panjang Bia, Batu Burak, Roban, semalam.

Mohamad Duri berkata, pelaksanaan projek berkenaan bukan sahaja meningkatkan kemudahan dan keselesaan penduduk, malah menjadi bukti bahawa pembangunan di kawasan luar bandar terus menjadi keutamaan kerajaan Sarawak.

“Terbukti bahawa kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) sangat mementingkan pembangunan yang menyeluruh supaya kawasan luar bandar tidak terpinggir.

“Siapnya projek RTP di Rumah Panjang Bia Ak Juing ini merupakan bukti jelas komitmen kerajaan dalam merealisasikan impian dan keperluan rakyat,” katanya.

Menurut beliau, kestabilan politik di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, turut membolehkan agenda pembangunan negeri dilaksanakan dengan lebih lancar.

Katanya, keadaan itu secara tidak langsung memberi manfaat kepada penduduk, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.

“Di DUN Kalaka, kita dapat melihat semakin banyak projek pembangunan yang telah siap dan sedang rancak dilaksanakan menerusi RTP.

“Pelaksanaan projek-projek ini secara langsung telah mengubah landskap pembangunan di kampung, rumah panjang dan seluruh kawasan DUN Kalaka,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah, agensi pelaksana projek, pihak kontraktor serta semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan projek pembangunan berkenaan.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ketua masyarakat dan tuai rumah yang sentiasa memberikan kerjasama dalam usaha bersama membangunkan kawasan DUN Kalaka.

Oleh Adi Safarman