Kebakaran belukar 0.8 hektar di Sungai Beras Beladin masuk hari kedua

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN belukar seluas kira-kira 0.8 hektar di Sungai Beras, Beladin, memasuki hari kedua selepas operasi pemadaman terpaksa ditangguhkan susulan keadaan cuaca yang semakin gelap, semalam. Foto PBS Beladin

BELADIN: Kebakaran belukar seluas kira-kira 0.8 hektar di Sungai Beras, Beladin, memasuki hari kedua selepas operasi pemadaman terpaksa ditangguhkan susulan keadaan cuaca yang semakin gelap.

Menurut kenyataan media Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan semalam.

Pasukan bomba kemudian dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan pemadaman selepas menerima laporan daripada Ketua Kampung Subhi Awang Halil.

Setibanya di lokasi, komander operasi mendapati kebakaran belukar sememangnya berlaku dengan keluasan kawasan terjejas dianggarkan sekitar dua ekar.

Anggota bomba kemudian menjalankan operasi pemadaman menggunakan dua aliran hos dengan bekalan air daripada jentera bomba.

PADAM… Anggota bomba menjalankan operasi pemadaman kebakaran belukar di Sungai Beras, Beladin yang melibatkan kawasan seluas kira-kira 0.8 hektar. Foto PBS Beladin

Bagaimanapun, usaha pemadaman berdepan beberapa kekangan termasuk ketiadaan sumber air berhampiran kawasan kebakaran.

Selain itu, liputan telefon yang kurang baik di lokasi turut menyukarkan urusan komunikasi sepanjang operasi dijalankan.

Menurut BBP Saratok, kawasan yang terbakar bagaimanapun mempunyai parit yang boleh berfungsi sebagai ‘fire break’, sekali gus membantu mengehadkan pergerakan api ke kawasan lain.

Operasi pemadaman kemudiannya ditangguhkan apabila keadaan di lokasi menjadi semakin gelap dan tidak lagi sesuai untuk kerja pemadaman secara berkesan.

Seramai lapan anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut dengan kekuatan satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS).

Operasi turut mendapat kerjasama daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Beladin yang melibatkan dua orang anggota.

Pihak bomba akan terus mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keselamatan kawasan terlibat, selain mengelakkan kebakaran daripada merebak ke kawasan sekitar.

Oleh Adi Safarman