Sarawak Energy ambil maklum 22 kes kebimbangan bil elektrik ‘viral’ di Facebook

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

KUCHING: Sarawak Energy telah mengenal pasti 22 kes berkaitan kebimbangan terhadap bil elektrik yang dibangkitkan baru-baru ini menerusi hantaran pengguna di aplikasi Facebook.

Menurut kenyataannya, sebanyak 20 pelanggan telah dihubungi, satu kes baharu sedang dalam tindakan susulan, manakala seorang pengguna pula tidak dapat dikenal pasti berdasarkan maklumat yang tersedia dalam hantaran berkenaan.

“Sarawak Energy mempunyai mekanisme aduan sedia ada melalui saluran perkhidmatan pelanggan bagi membolehkan pelanggan mendapatkan penjelasan atau membuat semakan terhadap bil elektrik mereka.

“Setiap kes akan diteliti berdasarkan rekod akaun, bil dan meter yang berkaitan sebelum hasil semakan dijelaskan kepada pelanggan secara terperinci.

“Sebarang ketidakselarasan bacaan meter atau bil yang dikenal pasti akan disiasat dan diambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, pelanggan yang mempunyai pertanyaan atau kebimbangan berkaitan bil elektrik digalakkan menghubungi Sarawak Energy secara terus supaya akaun mereka dapat disemak dan tindakan susulan dapat diambil.

“Pelanggan yang ingin mendapatkan semakan lanjut terhadap jumlah yang dikenakan juga boleh mengemukakan rayuan berserta maklumat dan dokumen sokongan yang berkaitan.

“Kemudahan pembayaran secara fleksibel turut boleh dipertimbangkan bagi pelanggan yang mempunyai kebimbangan berkaitan pembayaran bil,” tambahnya.

Sehubungan itu, Sarawak Energy memperluaskan perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh Sarawak bagi memudahkan mereka yang mempunyai kebimbangan berkaitan bil elektrik membuat semakan akaun serta mendapatkan bantuan.

Untuk rekod, dari 2 hingga 4 September lalu, Sarawak Energy menyediakan kaunter perkhidmatan khas di Wisma SESCO, Kuching bagi mempercepatkan urusan pelanggan mengemukakan maklum balas berkaitan bil dan mendapatkan semakan akaun.

Inisiatif berkenaan akan diteruskan sehingga Oktober ini dan diperluaskan ke Sibu, Bintulu serta Miri.

Selain itu, laman Facebook Sarawak Energy Cares turut menyediakan platform kepada pelanggan untuk mengemukakan kebimbangan, pertanyaan dan maklum balas secara terus kepada Sarawak Energy untuk tindakan susulan oleh pasukan Khidmat Pelanggan.

Pelanggan boleh menghubungi Sarawak Energy melalui Pusat Khidmat Pelanggan di talian 1300-88-3111, e-mel customercare@sarawakenergy.com, aplikasi mudah alih SEB cares atau kaunter perkhidmatan pelanggan Sarawak Energy yang berhampiran.

Oleh Masrin Affirah