IPU Serian, Lundu naik semula ke paras lebih 300

Facebook
WhatsApp
BACAAN IPU Sarawak setakat 8.00 pagi. Sumber NREB

KUCHING: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Sarawak meningkat semula pagi ini dengan dua kawasan merekodkan tahap berbahaya setakat 8.00 pagi.

Berdasarkan data Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Lundu merekodkan bacaan IPU tertinggi iaitu 335, manakala IPD Serian (MCAQM) mencatatkan 305, kedua-duanya berada pada status berbahaya.

Selain itu, Kuching merekodkan bacaan IPU 246, Samarahan (236), Sri Aman (234), Tebedu (214) dan Lubok Antu (212), yang masing-masing berada pada tahap sangat tidak sihat.

Sebanyak 10 kawasan lagi merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat, iaitu Sarikei (184), Sibu (168), Mukah (184), Bintulu (170), Samalaju (178), Miri (166), ILP Miri (170), Kanowit (186), Lawas (107) dan Betong (190).

Sementara itu, Kapit dengan bacaan 93 dan Limbang (86) berada pada tahap sederhana.

Bario pula merekodkan bacaan IPU terendah iaitu 50 dan berada pada status baik.

Secara keseluruhan, daripada 20 stesen pemantauan yang direkodkan pagi ini, dua berada pada tahap berbahaya, lima sangat tidak sihat, 10 tidak sihat, dua sederhana dan satu baik.

Oleh Masrin Affirah