JAKARTA: Selat Sunda kekal selamat daripada ancaman tsunami susulan aktiviti berterusan Gunung Anak Krakatau yang terletak di antara Pulau Jawa dan Sumatera, dengan tiada tsunami dikesan setakat ini ketika pihak berkuasa meneruskan pemantauan sepanjang masa.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) memaklumkan pemantauan menggunakan radar frekuensi tinggi (HF) menunjukkan kebarangkalian berlaku tsunami di Selat Sunda berada pada kategori rendah setakat 8.00 pagi Isnin.
“Laluan pelayaran di Selat Sunda kekal dalam keadaan selamat,” menurut agensi itu dalam kenyataan pada Isnin.
Pemangku Timbalan Geofizik BMKG Ardhasena Sopaheluwakan berkata pemantauan menerusi 20 alat pengukur tsunami di sekitar selat itu juga tidak menunjukkan sebarang perubahan luar biasa pada paras laut yang boleh menandakan berlakunya tsunami.
Walaupun tiada petunjuk tsunami dikesan, beliau berkata instrumen lain BMKG merekodkan peningkatan kejadian kilat dalam kepulan abu gunung berapi serta gangguan geomagnet antara tengah malam hingga 4.00 pagi, namun kedua-duanya kurang kuat berbanding ketika letusan pertama pada 4 September.
Mengenai keadaan laut, Pemangku Timbalan Meteorologi BMKG Andri Ramdhani berkata arus di permukaan kebanyakannya bergerak ke arah barat daya menuju Lautan Hindi pada kelajuan antara 0.4 hingga 0.9 knot, dengan ketinggian ombak antara 0.3 hingga 1.2 meter.
Beliau berkata ketinggian ombak di Selat Sunda dijangka antara 0.5 hingga 2.0 meter dari 8 hingga 13 September, dengan keadaan cuaca secara umumnya cerah hingga mendung di sekitar Anak Krakatau dan selat itu.
Andri berkata BMKG telah mengeluarkan 39 maklumat meteorologi penting (SIGMET) bagi penerbangan sejak letusan pertama pada 4 September, dengan maklumat terkini menunjukkan abu gunung berapi mencapai ketinggian 15,000 kaki dan bergerak ke arah barat menuju Sumatera serta Lautan Hindi pada kelajuan 15 knot.
“Berdasarkan analisis imej satelit Himawari-9 pada 9.00 pagi, corak angin secara amnya mendorong penyebaran abu gunung berapi Anak Krakatau ke arah barat,” kata beliau. – Bernama





