KUCHING: Jumlah sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Sarawak perlu terus ditambah bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman dan sukar diakses tidak tercicir daripada menerima perkhidmatan serta bantuan kebajikan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, keperluan sukarelawan di sesuatu kawasan tidak seharusnya dihadkan kepada seorang bagi setiap kampung, sebaliknya bergantung kepada saiz dan keperluan penduduk setempat.
“Bukannya satu kampung satu sukarelawan, lebih daripada itu. Kita bergantung kepada besar kampungnya dan saiz kampung.
“Memang kita amat menggalakkan kerana apabila orang kampung itu sendiri menjadi sukarelawan, maka rasa tanggungjawab dan rasa kekitaan itu sentiasa ada di situ serta akan membantu masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Hari Penduduk Sedunia Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Tan Sri Aziz, Universiti i-CATS Kuching, di sini, hari ini.
Nancy berkata, sehingga 31 Ogos 2026, Sarawak mempunyai 1,417 sukarelawan, terdiri daripada 480 lelaki dan 937 perempuan, yang membantu JKM melaksanakan tugas di kawasan masing-masing.
Menurutnya, jumlah itu akan terus ditambah dari semasa ke semasa, terutama di kawasan yang masih belum mempunyai sukarelawan.
“Kita tidak akan berhenti di situ kerana bergantung kepada kawasan. Ada kawasan yang saya pergi, kami akan melantik yang baharu juga sebab tempat itu tidak mempunyai sukarelawan, jadi bilangannya akan bertambah dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata, peranan sukarelawan bukan sekadar membantu urusan pengisian borang, sebaliknya mereka turut menjadi penghubung penting antara masyarakat dengan JKM.
Katanya, sukarelawan yang berasal dari kawasan berkenaan lebih mengetahui keadaan penduduk setempat, termasuk mengenal pasti individu atau keluarga yang layak menerima bantuan kebajikan tetapi tidak pernah mendapatkannya kerana kurang mengetahui mengenai kemudahan yang disediakan kerajaan.
“Ada di kawasan kampung pun mereka adalah orang yang layak untuk menerima kebajikan, tetapi tidak pernah menerima kebajikan sebab mereka tidak tahu.
“Sebab itu JKM akan bekerjasama dengan sukarelawan dari kampung itu untuk membantu dan mereka yang akan mengenal pasti siapakah orang yang layak,” katanya.
Nancy berkata, pendekatan itu penting memandangkan terdapat kawasan di Sarawak yang masih sukar dihubungi melalui jalan darat dan memerlukan perjalanan menggunakan sungai.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan terus menggunakan pendekatan turun padang menerusi program seperti Kembara Warga dan Kembara Kasih bagi membawa perkhidmatan terus kepada masyarakat.
“Kita berprinsip bahawa kita yang pergi memberi perkhidmatan, kita pergi, tidak menunggu rakyat pergi mencari kita.
“Jadi kita tidak mahu mereka susah,” katanya.
Nancy berkata, pendekatan berkenaan akan diteruskan dan ditambah baik dari semasa ke semasa bagi memastikan perkhidmatan kerajaan dapat sampai kepada masyarakat yang memerlukannya, khususnya mereka yang berada di kawasan sukar diakses.
Oleh Shahrul Qaizat





