JAKARTA: Indonesia melanjutkan penggantungan operasi penerbangan di empat lapangan terbang sehingga 6.00 petang waktu tempatan pada Isnin selepas Gunung Anak Krakatau kembali meletus pada waktu malam dan menghamburkan abu gunung berapi ke arah Jakarta, menurut pihak berkuasa, lapor Xinhua.
Pengendali lapangan terbang Angkasa Pura Indonesia memaklumkan operasi penerbangan masih digantung di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dan Halim Perdanakusuma di Jakarta, selain Radin Inten II di Lampung dan Husein Sastranegara di Bandung.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) berkata imej satelit menunjukkan dua kelompok abu gunung berapi masih bergerak ke arah Jakarta setakat 6 pagi Isnin.
Letusan terbaharu itu berlaku selepas abu daripada Anak Krakatau menjejaskan lebih 1,500 penerbangan dan sekitar 170,000 penumpang sepanjang hujung minggu.
Gunung Anak Krakatau yang terletak di Selat Sunda antara Jawa dan Sumatera telah beberapa kali meletus sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sebahagian gunung berapi itu runtuh pada 2018, mencetuskan tsunami yang mengorbankan lebih 400 orang. – Bernama





