KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Malaysia 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Sarawak pada 16 September ini bakal menonjolkan keunikan budaya menerusi gabungan artis dan persembahan pelbagai etnik dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan Kementerian Komunikasi Harun Ali berkata sambutan yang bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” itu dijangka dihadiri kira-kira 5,000 jemputan termasuk wakil komuniti tempatan.
Beliau berkata penglibatan artis ternama seperti Faizal Tahir dari Semenanjung, Dayang Nurfaizah mewakili Sarawak dan Stacy Anam bagi Sabah, melambangkan penyatuan serta perpaduan tiga wilayah utama yang membentuk Malaysia.
“Di samping majlis utama di BCCK, pelbagai program sisipan turut diadakan di sekitar Kuching bagi memberi peluang kepada orang ramai menyemarakkan lagi semangat Hari Malaysia.
“Antaranya pameran sejarah pembentukan Malaysia di Plaza Merdeka, Kuching serta pameran mini di semua bahagian di Sarawak untuk akses orang awam yang bermula pada 10 September,” katanya ketika menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), hari ini.
Harun berkata pemilihan Sarawak sebagai tuan rumah tahun ini adalah berdasarkan keputusan Jemaah Menteri pada 2020 yang menetapkan penganjuran Hari Malaysia digilirkan antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.
Beliau berkata majlis kemuncak sambutan yang bermula pada 8.30 malam itu akan disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM dan pelbagai platform media sosial rasmi dan maklumat lanjut yang boleh diakses menerusi portal rasmi Merdeka360 bagi memudahkan masyarakat mengetahui mengenai tentatif dan lokasi program.
Harun berkata bersempena dengan sambutan, majlis doa selamat akan diadakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak pada 15 September ini bagi memperingati pengorbanan dan usaha pemimpin terdahulu dalam menyatukan wilayah menjadi Malaysia.
Beliau berkata selain itu, Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 turut menganjurkan pameran Hari Malaysia di Semenanjung melibatkan beberapa lokasi termasuk di Menara Komunikasi dan pusat beli belah IOI City Mall, Putrajaya bagi memberikan peluang kepada orang ramai lebih memahami sejarah pembentukan Malaysia.
“Kita juga menjemput warga muda yang ada TikTok dan sebagainya untuk sama-sama membuat penstriman langsung dengan kandungan positif berkaitan semangat Hari Malaysia dan kita jemput semua untuk sama-sama berkongsi kemeriahan itu,” katanya. – Bernama





