KUCHING: Seorang lelaki berusia 67 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di Jalan Haji Baki menghala ke Jalan Kampung Semeba, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintenden Barry William berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kemalangan maut itu kira-kira 6.40 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar 6.00 pagi ketika mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dari arah Jalan Haji Baki menuju ke Jalan Kampung Semeba.
“Penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kiri.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira 6.55 pagi oleh pembantu pegawai perubatan,” katanya dalam temu bual eksklusif.

Barry berkata, pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan pada bahagian muka.
Menurutnya, pemeriksaan turut mendapati motosikal berkenaan tidak mempunyai Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan perlindungan insurans yang sah, manakala lesen memandu mangsa telah tamat tempoh.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Setakat ini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Barry berkata, polis telah menjalankan pemeriksaan dan mengambil gambar di lokasi kejadian, selain mengesan saksi yang boleh membantu siasatan.
Motosikal terbabit turut ditahan untuk menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).
Menurutnya, kemalangan itu tidak menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana berlaku di luar waktu puncak.
Oleh Connie Chieng





