‘Kebanyakan pembenihan awan yang kita lakukan, bergerak ke negara jiran dibawa angin’ – METMalaysia

Facebook
WhatsApp
OPERASI Pembenihan Awan dilanjutkan sehingga esok bagi membantu meningkatkan paras air di empangan utama Sarawak susulan keadaan cuaca kering dan kekurangan taburan hujan. Foto UKAS

KUCHING: Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Sarawak sebelum ini berjaya menghasilkan hujan di beberapa kawasan termasuk Murum, Bakun, Serian dan Batang Ai, namun jumlah hujan yang diterima masih belum mencapai tahap yang diharapkan.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) Sarawak, Khairul Najib Ibrahim berkata, memang berlaku hujan tetapi tidak banyak.

“Ini kerana kebanyakan awan bergerak ke sebelah, ke negara jiran disebabkan angin yang agak kuat pada masa itu.

“Kebanyakan awan yang kita lakukan pembenihan awan bergerak merentasi sempadan ke negara jiran, jadi hanya sedikit sahaja yang turun di Batang Ai,” katanya ketika ditemui pemberita semasa OPA di Pangkalan Udara Kuching di sini hari ini.

Menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) operasi itu diteruskan sehingga esok dengan tumpuan kepada kawasan tadahan Empangan Batang Ai, Bakun dan Murum susulan paras air yang masih rendah di empangan berkenaan.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah meluluskan pelanjutan operasi selama dua hari selepas OPA yang pada asalnya dijadualkan berlangsung dari 3 hingga 5 September.

ANTARA agensi terlibat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) Dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Foto UKAS

Khairul menjelaskan, faktor keadaan awan dan cuaca turut mempengaruhi keberkesanan operasi sehingga menyebabkan hujan tidak dapat dihasilkan di beberapa kawasan yang disasarkan.

Sehubungan itu, beliau berharap keadaan atmosfera sepanjang tempoh pelanjutan operasi lebih sesuai bagi membolehkan usaha pembenihan awan memberi hasil lebih baik, khususnya di kawasan tadahan empangan.

“Kita harap dalam masa dua hari ini, operasi kita berjaya dan kita beri tumpuan pada kawasan sekitar Batang Ai dan kawasan-kawasan tadahan empangan di Sarawak ini bagi menyokong industri tempatan kita dan juga penggunaan domestik dan industri di Sarawak,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Presiden Hidro Sarawak Energy, Jonny Wong Kwei Ji berkata, paras air Empangan Murum masih menunjukkan trend menurun, sekali gus memerlukan OPA diteruskan.

Menurut beliau, Empangan Murum dan Bakun kini menghampiri tahap ‘Emergency Level 1’, manakala Empangan Batang Ai telah mencapai ‘Emergency Level 3’.

Jelasnya, Empangan Batang Ai menjadi antara tumpuan utama operasi kali ini berikutan paras airnya yang kritikal, dengan bacaan 98.19 meter dari aras laut (mASL) direkodkan.

Turut mengikuti operasi berkenaan ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Felicia Tan Ya Hua yang meninjau pelaksanaan OPA serta situasi semasa di kawasan empangan terlibat.

Oleh Afiq Sallehi