Kuching himpun lebih 800 peserta FEIAP 2026

Facebook
WhatsApp
PREMIER Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama delegasi Kongres Kejuruteraan Asia dan Pasifik FEIAP 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), baru-baru ini.

KUCHING: Lebih 800 delegasi dari 25 ekonomi berkumpul di Kuching sempena Kongres Kejuruteraan Asia dan Pasifik FEIAP 2026 yang mencatat sejarah sebagai perhimpunan terbesar Persekutuan Institusi Kejuruteraan Asia dan Pasifik (FEIAP) dalam tempoh 48 tahun.

Berlangsung dari 2 hingga 4 September lalu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), persidangan itu menghimpunkan pemimpin kejuruteraan, profesional, ahli akademik, pelajar dan jurutera muda untuk bertukar pengetahuan dan pandangan mengenai pembangunan mampan serta inovasi kejuruteraan.

Dianjurkan oleh Institusi Jurutera Malaysia (IEM) menerusi IEM Sarawak, FEIAP 2026 turut merangkumi Perhimpunan Agung FEIAP ke-34, Kongres dan Pameran Kejuruteraan Dunia serta Pertandingan Inovasi Bakat Muda.

Mengangkat tema ‘Merekayasa Peralihan Mampan Melalui Inovasi dan Daya Tahan’, persidangan itu memberi tumpuan kepada pembangunan bandar masa depan, peralihan tenaga ke arah sifar bersih, kelestarian iklim serta pembangunan pemimpin kejuruteraan generasi akan datang.

Persidangan tersebut dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang turut berkongsi hala tuju pembangunan Sarawak serta menekankan peranan jurutera dalam pembangunan infrastruktur, peralihan tenaga, tindakan iklim, teknologi dan pembangunan bakat.

Sementara itu, Perhimpunan Agung FEIAP ke-34 menghasilkan perkembangan penting dengan institusi kejuruteraan dari Brunei Darussalam dan Macau diterima sebagai anggota baharu, sekali gus menjadikan jumlah ekonomi anggota FEIAP kini 27.

Pengerusi Penganjur FEIAP 2026, Ir. Dr. Angelia Liew San Chuin, berkata jumlah dan kepelbagaian penyertaan membuktikan kepentingan menghimpunkan komuniti kejuruteraan serantau dalam satu platform.

Menurutnya, persidangan itu bukan sahaja membolehkan pertukaran pengetahuan dan pengukuhan hubungan profesional, malah membuka peluang baharu untuk kerjasama antara negara di rantau ini.

“Kami amat berbesar hati kerana Kuching menjadi tuan rumah kepada perhimpunan FEIAP terbesar sepanjang 48 tahun penubuhannya.

“Kami berharap para delegasi pulang bukan sahaja dengan idea dan hubungan baharu, malah kenangan manis dari Sarawak,” katanya.

Selain program persidangan, para delegasi turut menyertai aktiviti meneroka Sarawak termasuk jejak warisan, lawatan teknikal, penanaman pokok, lawatan ke Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke dan pelayaran menyusuri Sungai Sarawak.

Persidangan itu berakhir dengan Majlis Makan Malam Gala FEIAP pada 4 September lalu yang turut menyaksikan penyampaian Anugerah Jurutera Terbaik FEIAP dan Anugerah Felo Kehormat FEIAP.