SARATOK: Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) melibatkan pembinaan atap rumah panjang dan laluan berbumbung di Rumah Lindong, Engkudu Atas, Sebetan, memberi manfaat besar kepada penduduk setempat, khususnya ketika musim hujan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik, berkata projek berkenaan bukan sahaja menyediakan kemudahan lebih selesa kepada penduduk, malah mengurangkan kebimbangan mereka ketika melakukan aktiviti harian, terutama ketika hujan.
“Dengan siapnya projek ini, ia telah memberikan keselesaan serta mengurangkan kebimbangan penduduk, lebih-lebih lagi ketika hari hujan,” katanya ketika berkunjung ke Rumah Lindong, Engkudu Atas, Sebetan di sini, semalam.
Menurut Friday, program berkenaan dianggarkan memberi manfaat kepada kira-kira 800 penduduk, selain menjadi platform untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat dari pelbagai kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.
Katanya, penduduk yang hadir bukan sahaja dari Sebetan, malah turut melibatkan masyarakat dari Kabo, Lempa, Awik, Melupa, Krian, Budu dan Sebelak.
“Kehadiran masyarakat yang hadir juga menjadi tanda hubungan dan perpaduan yang cukup baik dalam kalangan penduduk di kawasan Krian.
“Tidak kira asal usul atau parti politik, mereka hadir dengan semangat kebersamaan dan bersatu padu,” katanya.

Friday turut memuji semangat kerjasama yang ditunjukkan masyarakat setempat dan berharap ia dapat diteruskan bagi memastikan agenda pembangunan di kawasan Krian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, perkembangan politik di Krian kini dilihat semakin matang apabila masyarakat lebih mengutamakan penyatuan berbanding perbezaan pandangan politik.
“Saya berasa bangga melihat perkembangan politik kita di Krian yang sudah berubah ke arah penyatuan dan mampu mengelakkan perbezaan pendapat yang terlalu berlebihan akibat politik yang keterlaluan.
“Apabila kita tidak terlalu berpolitik, kita dapat memberikan fokus kepada program pembangunan yang mampu membawa manfaat serta kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Brian Fung, Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri Leonard Jambu, Pemanca Thomas Lamit, Penghulu Isa anak Ging, Penghulu Josephine Entira, ketua-ketua masyarakat, ketua-ketua kaum, barisan kaunselor, Biro Wanita serta penduduk setempat.
Friday turut merakamkan penghargaan kepada Tuai Rumah Lindong, JKKK, Biro Wanita Engkudu Atas serta semua pihak yang terlibat dalam menjayakan projek dan program berkenaan.





