KUCHING: Wisma Hua Shang bukan sekadar sebuah bangunan, malah menjadi sebahagian daripada perjalanan dan usaha membina Sarawak, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.
Beliau berkata, pencapaian Huashang Economic Organisation (Sibu) Sdn. Bhd. sepanjang 30 tahun mencerminkan kepentingan visi, kebijaksanaan dan semangat perpaduan dalam membangunkan ekonomi serta masyarakat.
“30 tahun lalu, Huashang sudah mampu berbuat demikian. 30 tahun kemudian, kita mesti buat dengan lebih baik lagi,” katanya ketika merasmikan Wisma Hua Shang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-30 Huashang Economic Organisation (Sibu) Sdn. Bhd. di Pusat Komersial Kuching City Mall, hari ini.
Dr Sim berkata, kejayaan yang dicapai bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya hasil usaha dan sumbangan berterusan mereka yang terlibat sejak awal penubuhan organisasi berkenaan.
Beliau turut menekankan kepentingan semangat untuk kembali menyumbang kepada tanah kelahiran, khususnya dalam kalangan masyarakat Sarawak yang berjaya di luar negara.
“Kalau ada wang, kita menyumbang wang. Kalau tidak ada wang, kita menyumbang masa dan tenaga. Mereka yang mempunyai lebih, memberi lebih.
“Ini merupakan tradisi yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya dan tradisi ini perlu diteruskan,” katanya.
Menurutnya, Sarawak kini berada pada tahap pembangunan yang berbeza berbanding 10 tahun lalu dan negeri ini perlu terus bergerak ke hadapan dengan meneroka sektor ekonomi baharu.
Katanya, selain sektor ekonomi tradisional, Sarawak perlu terus memberi tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui, tenaga hijau dan industri semikonduktor.
Dalam masa sama, pembangunan bakat berkemahiran tinggi turut penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negeri dapat diteruskan.
“Apabila kita bercakap mengenai masa depan ekonomi, ia bukan hanya mengenai infrastruktur, tetapi mengenai pembangunan bakat berpendapatan tinggi dan berkemahiran tinggi,” katanya.
Dr Sim berkata, pencapaian dalam pelbagai bidang termasuk sektor perubatan menunjukkan Sarawak mempunyai keupayaan membangunkan bakat tempatan yang mampu mencapai pengiktirafan di peringkat lebih luas.
Beliau berkata, perkara itu membuktikan kepentingan pendidikan, pembangunan bakat serta nilai tanggungjawab dalam memastikan kemajuan Sarawak dapat dikekalkan.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak terus memainkan peranan dalam membangunkan Sarawak dengan berpegang kepada nilai ekonomi, perpaduan masyarakat, pendidikan, pembangunan generasi akan datang dan rasa syukur.
“Kita mesti memastikan generasi seterusnya lebih bijak, lebih berhemah dan lebih berkemampuan daripada generasi sebelumnya.
“Hanya dengan cara itu mereka dapat meneruskan apa yang telah kita bina dan membawa Sarawak ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Wisma Hua Shang yang kini berdiri di Pusat Komersial Kuching City Mall menjadi kesinambungan kepada perjalanan Huashang yang bermula di Sibu hampir tiga dekad lalu.
Huashang Economic Organisation (Sibu) Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 5 Ogos 1997 dengan modal berdaftar RM2 bagi membantu pembangunan ekonomi masyarakat perniagaan Cina serta menyokong Sibu Chinese Chamber of Commerce.
Organisasi itu pada awalnya terlibat dalam perkhidmatan feri, sebelum beralih kepada pelaburan hartanah dan sektor lain selepas Jambatan Lanang dibuka pada 2006.
Pada tahun sama, Huashang mengembangkan pelaburan ke Kuching menerusi penubuhan Huashang Development Sdn. Bhd., meliputi pembangunan hartanah dan pusat beli-belah.
Selain perniagaan, Huashang turut memberi tumpuan kepada pendidikan dan kebajikan. Sehingga 2016, seramai 466 pelajar menerima bantuan pendidikan berjumlah RM396,500.
Perjalanan tiga dekad itu mencerminkan komitmen Huashang terhadap pembangunan ekonomi, pendidikan dan kesejahteraan masyarakat.
Oleh Shikin Mahmud




