KUCHING: Dua warga asing, masing-masing dari China dan Taiwan, direman selama tiga hari selepas disyaki mengambil spesimen tumbuhan tanpa kebenaran dari kawasan Taman Negara Santubong.
Kedua-dua individu berkenaan direman bermula 4 September hingga esok bagi membantu siasatan yang dijalankan Perbadanan Hutan Sarawak (SFC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut kenyataan SFC, kes berkenaan dikesan pada 3 September kira-kira 1.50 petang ketika kedua-dua individu terbabit berada di kaunter pendaftaran Taman Negara Santubong untuk mendaftar keluar selepas menjalankan aktiviti di kawasan taman negara berkenaan.
Hasil pemeriksaan yang dijalankan renjer Taman Negara Santubong selepas mengesyaki mereka mungkin mengambil dan mengumpul spesimen tumbuhan dari kawasan taman negara itu menemukan empat beg plastik lut sinar mengandungi spesimen tumbuhan yang disyaki diambil dari kawasan berkenaan.
“Kesemua spesimen telah direkodkan dan disimpan sebagai barang kes, dan kini menjalani proses pengenalpastian serta pemeriksaan lanjut bagi menentukan jenis dan status spesies yang terlibat,” menurut kenyataan itu.
Dua beg galas bersama beberapa barangan lain turut dirampas bagi membantu siasatan.
Siasatan mengambil kira peruntukan di bawah Ordinan Taman Negara dan Rizab Alam Semula Jadi 1998 [Bab 27], yang melarang pengambilan atau pengeluaran tumbuhan dari kawasan taman negara tanpa kebenaran Controller Taman Negara dan Rizab Semulajadi.
Di bawah Seksyen 26 Ordinan berkenaan, seseorang tanpa kebenaran Controller tidak dibenarkan mengambil atau memusnahkan tumbuhan di dalam taman negara, atau mengeluarkan tumbuhan hidup atau mati dari kawasan taman negara.
SFC berkata pihaknya memandang serius sebarang aktiviti mengambil, mengumpul atau mengeluarkan sumber biologi daripada kawasan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) tanpa kebenaran.
“Aktiviti sedemikian boleh memberi kesan kepada integriti biodiversiti serta usaha konservasi jangka panjang Sarawak,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, orang ramai dan pengunjung diingatkan bahawa semua flora, fauna dan sumber semula jadi di dalam kawasan taman negara adalah dilindungi dan tidak boleh diambil, dipindahkan atau dibawa keluar tanpa kelulusan yang sah.
“SFC akan terus memperkukuh rondaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di semua kawasan Taman Negara dan Rizab Semulajadi bagi memastikan khazanah biodiversiti Sarawak terus dilindungi,” katanya.
SFC bagaimanapun tidak akan mengulas lanjut mengenai identiti individu, spesies yang terlibat atau aspek pembuktian lain berikutan kes masih dalam siasatan.





