BAU: Seorang wanita tempatan berusia 34 tahun meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas sebelum ditemukan tidak sedarkan diri di bahagian dapur kediamannya di Kampung Bidi, Jalan Krokong, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, kejadian berlaku kira-kira 9.00 malam tadi (5 September), apabila mangsa dilaporkan mengalami sesak nafas sebelum terjatuh dan tidak sedarkan diri.
Menurutnya, mangsa kemudian dibawa ahli keluarga ke Unit Kecemasan Hospital Bau untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan kira-kira 10.09 malam.
“Hasil pemeriksaan awal pihak polis ke atas mayat mendapati tiada sebarang kecederaan mencurigakan atau unsur jenayah dikesan.
“Menurut ahli keluarga, mangsa mempunyai sejarah masalah kesihatan dan kerap mendapatkan rawatan susulan di Hospital Bau. Pihak keluarga juga tidak mengesyaki sebarang unsur jenayah berkaitan kematian mangsa,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, mayat mangsa akan menjalani bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Kes berkenaan kini diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (LMM) dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan berhubung kejadian berkenaan serta memberi ruang kepada pihak polis menjalankan siasatan.





