IPU Serian turun, status darurat masih dalam pemantauan

Facebook
WhatsApp
HEBAHAN SDMC.

KUCHING: Keadaan jerebu di Serian menunjukkan perkembangan positif apabila bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) turun kepada 185 setakat 12.00 tengah hari ini, berbanding 334 pada 10.00 pagi, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata bacaan itu meletakkan Serian dalam kategori tidak sihat.

Menurutnya, trend penurunan IPU itu direkodkan ketika pemantauan memasuki hari kedua daripada tempoh tiga hari yang ditetapkan.

“Bacaan IPU dipengaruhi terutamanya oleh arah angin dan sumber tompok panas,” menurut kenyataan SDMC hari ini.

Katanya, pemantauan akan diteruskan sebelum sebarang cadangan dikemukakan kepada Premier Sarawak dan Perdana Menteri berhubung status darurat di Serian.

Dalam pada itu, pejabat kerajaan, swasta dan tempat kerja lain termasuk sektor industri, perladangan, tapak pembinaan serta kuari di kawasan terjejas dibenarkan meneruskan operasi dengan mematuhi langkah berjaga-jaga berkaitan kesihatan.

Berdasarkan data Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) semalam, tiada tompok panas dikesan di Sarawak, manakala 184 tompok panas direkodkan di Kalimantan, Indonesia.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula meramalkan keadaan cuaca yang agak kering dari hari ini hingga 12 September.

Sementara itu, Operasi Pembenihan Awan (OPA) dilanjutkan hari ini dan esok (7 September) ini bagi membantu menangani keadaan semasa.

SDMC berkata, operasi pembenihan awan yang dilaksanakan semalam berjaya menghasilkan hujan apabila pembentukan awan yang sesuai dikesan di kawasan Empangan Bakun dan Murum.

Operasi hari ini akan diteruskan seperti dirancang tertakluk kepada kewujudan pembentukan awan dan keadaan cuaca yang sesuai.

Orang awam turut dinasihatkan supaya mengelakkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka N95 atau sekurang-kurangnya pelitup muka tiga lapis sekiranya terpaksa berada di luar.

Mereka juga diminta memberi perhatian khusus kepada kanak-kanak, warga emas dan golongan yang lebih terdedah kepada kesan jerebu.

SDMC akan terus memantau keadaan dan bekerjasama dengan agensi berkaitan di peringkat negeri serta Persekutuan bagi memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sarawak terus terpelihara.

Oleh Afiq Sallehi