ASAJAYA: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Asajaya mempergiat rondaan pemantauan menerusi Op Ramah Barat Daya di beberapa lokasi sekitar daerah ini bagi memastikan keadaan kekal terkawal serta mengesan sebarang risiko kecemasan atau bencana.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), rondaan yang dilaksanakan di Jalan Kampung Rebak, Kampung Serpan dan Pekan Asajaya pada Jumaat mendapati keadaan di semua lokasi berkenaan terkawal tanpa sebarang kejadian kecemasan atau bencana dilaporkan.
Hasil pemantauan turut mendapati tiada aktiviti pembakaran terbuka dikesan sepanjang operasi berkenaan.


ANGGOTA APM Daerah Asajaya yang menjalankan rondaan pemantauan menerusi Op Ramah Barat Daya di Jalan Kampung Rebak, Kampung Serpan dan Pekan Asajaya bagi memastikan keadaan terkawal serta mengesan sebarang risiko kecemasan atau bencana. Foto UKAS
Menurut APM Daerah Asajaya, rondaan itu merupakan sebahagian daripada usaha kesiapsiagaan berterusan bagi memantau keadaan semasa dan memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku sebarang insiden.
Orang awam yang memerlukan bantuan kecemasan boleh menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Asajaya di talian 082-827091.
Oleh Afiq Sallehi




