Jambatan Sungai Layar ditutup sementara, Uggah tinjau kerja pembaikan

Facebook
WhatsApp
DATUK Amar Douglas Uggah Embas melalukan tinjauan keadaan Jambatan Sungai Layar, hari ini. Foto JKR Sarawak

BETONG: Jambatan Sungai Layar di sini akan ditutup sepenuhnya kepada semua trafik buat sementara waktu bagi membolehkan kerja pembaikan terhadap kerosakan yang dikenal pasti dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurut kenyataan media Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, hari ini turun padang meninjau keadaan jambatan berkenaan serta pelaksanaan kerja pembaikan yang sedang dijalankan.

Dalam lawatan itu, Uggah menerima taklimat daripada Jurutera Bahagian JKR Betong berkaitan keadaan semasa jambatan, skop pembaikan serta langkah keselamatan yang perlu diberi perhatian sepanjang kerja berkenaan dilaksanakan.

Penutupan sepenuhnya itu turut membolehkan kerja berkaitan pengalihan paip bekalan air di kawasan jambatan dilakukan dengan lancar tanpa menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya dan pekerja.

JKR Sarawak menegaskan aspek keselamatan pengguna jalan raya serta semua pihak yang terlibat menjadi keutamaan sepanjang tempoh penutupan jambatan berkenaan.

Turut menyertai sesi turun padang itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu serta Ahli Parlimen Betong, Dato Dr. Richard Rapu.

Ketua-ketua jabatan dan wakil agensi berkaitan di Bahagian Betong turut hadir bagi mendapatkan gambaran langsung mengenai keadaan infrastruktur berkenaan serta tindakan yang sedang dilaksanakan.

Dalam lawatan sama, Uggah dan rombongan turut meninjau kemajuan projek menaik taraf Jalan Saka–Spaoh serta pembinaan Jambatan Sungai Layar yang baharu.

Rombongan kemudian menerima taklimat ringkas daripada pegawai Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB), selaku agensi pelaksana, berhubung status dan kemajuan terkini projek berkenaan.

Lawatan itu mencerminkan perhatian berterusan kerajaan Sarawak terhadap aspek keselamatan, aksesibiliti serta penyediaan infrastruktur berkualiti, selain memastikan kerja pembaikan dan projek pembangunan dilaksanakan secara terancang demi kepentingan rakyat.

Oleh Adi Safarman