Eksklusif: Darurat jerebu jejas perniagaan peniaga di Serian

Facebook
WhatsApp
KEADAAN jerebu di kawasan Serian pada 4.00 petang tadi.

SERIAN: Pengisytiharan darurat susulan keadaan jerebu yang melanda Serian mula menjejaskan aktiviti perniagaan kecil apabila jumlah pelanggan didapati berkurangan, terutama pada hari bekerja.

Peniaga sayur, Janet, 65, dari Ensengai berkata, jumlah pelanggan kini tidak seramai sebelum keadaan jerebu melanda kawasan berkenaan.

Menurutnya, keadaan itu lebih ketara sejak jerebu mula menyelubungi Serian, menyebabkan orang ramai mengurangkan aktiviti di luar rumah.

“Memang kurang orang daripada biasa. Kalau hujung minggu masih okey, terutama Sabtu dan Ahad, walaupun jerebu ada.

“Tetapi kalau hari Isnin hingga Jumaat, memang agak sepi,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak di Serian, hari ini.

Beliau berkata, jumlah pelanggan turut dilihat sedikit berkurangan selepas pengisytiharan darurat, kemungkinan kerana orang ramai bimbang untuk keluar dalam keadaan kualiti udara yang kurang baik.

PENIAGA sayur, Janet, 65, dari Ensengai, berkata jumlah pelanggan berkurangan susulan keadaan jerebu di Serian ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Nathalia Jeremis, 25, dari Kampung Seroban berkata, perniagaannya turut terjejas apabila jumlah pengunjung yang datang membeli barangan pada hujung minggu kini berkurangan.

“Dulu orang ramai datang membeli barang setiap hujung minggu, tetapi sekarang selepas darurat dikeluarkan, orang kurang datang.

“Memang jauh berbeza berbanding sebelum ini,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat pelanggan yang datang membeli barangan walaupun keadaan jerebu masih berlaku.

Menurutnya, keadaan jerebu di Serian juga masih menyebabkan pemandangan agak berkabus dan berasap, namun keadaan hari ini dilihat sedikit lebih baik berbanding semalam.

“Semalam asap agak tebal sehingga pemandangan berkabus, tetapi hari ini sudah okey sedikit,” katanya.

PENIAGA durian, Ignatus Anthony Ang Kai Lun, 40, dari Matang ketika ditemui di Serian hari ini, berkata keadaan jerebu menyebabkan jumlah pelanggan yang singgah membeli durian berkurangan.

Dalam pada itu, peniaga durian, Ignatus Anthony Ang Kai Lun, 40, dari Matang berkata, keadaan jerebu menyebabkan kenderaan yang melalui kawasan perniagaannya tidak banyak berhenti untuk membeli.

“Kereta memang banyak, tetapi orang tidak mahu berhenti membeli kerana jerebu.

“Kadang-kadang saya sendiri rasa susah hendak bernafas disebabkan asap dan batuk kuat. Pelanggan pun ada yang mengadu perkara sama,” katanya.

Beliau yang mula berniaga di kawasan berkenaan sejak Februari lalu berkata, keadaan perniagaan sebelum jerebu melanda adalah lebih baik.

Katanya, keadaan jerebu yang berlaku sejak kira-kira dua minggu lalu memberi kesan ketara terhadap jumlah pelanggan.

“Kalau awal pagi, pandangan memang tidak nampak jalan dengan jelas,” katanya.

 PENIAGA, Nathalia Jeremis, 25, dari Kampung Seroban, berkata jumlah pelanggan yang datang membeli barangan berkurangan susulan keadaan jerebu di Serian ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Mohamad Shamizi, 25, dari Taman Anggerik berkata, perniagaan minuman yang dijalankannya turut mengalami sedikit penurunan pendapatan akibat keadaan jerebu.

Menurutnya, keadaan hari ini bagaimanapun dilihat sedikit lebih baik berbanding dua hingga tiga hari lalu susulan hujan yang turun pada waktu malam.

“Kalau teruk, dua tiga hari lepas memang teruk. Hari ini sudah okey sedikit, sedang-sedang sahaja.

“Dua malam lepas ada hujan, jadi keadaan sekarang sedikit lebih baik berbanding sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, jumlah pelanggan hari ini berada pada tahap sederhana, namun pendapatan tetap mengalami sedikit penurunan.

Shamizi turut memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melalui telefon sebelum membuat keputusan untuk meneruskan operasi perniagaan.

Katanya, jika bacaan IPU berada pada paras terlalu tinggi, beliau tidak akan membuka perniagaan demi menjaga keselamatan diri.

“Saya sentiasa tengok IPU melalui telefon. Kalau bacaan sudah lebih daripada 500 atau terlalu tinggi, saya tidak buka,” katanya.

PENIAGA minuman, Mohamad Shamizi, 25, dari Taman Anggerik, berkata keadaan jerebu turut memberi sedikit kesan terhadap pendapatan perniagaannya.

Beliau yang menjual minuman seperti cendol, air jagung dan teh hijau berkata, operasi perniagaan biasanya bermula sekitar 10.00 atau 11.00 pagi dan ditutup kira-kira 5.00 petang.

Katanya, waktu operasi turut mengambil kira keadaan penglihatan pada waktu petang serta faktor keselamatan ketika perjalanan pulang.

Terkini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) terus memantau dengan rapat situasi jerebu di seluruh Sarawak, khususnya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian.

Setakat 4.00 petang tadi, bacaan IPU di Serian menurun kepada 268 berikutan hujan yang turun di beberapa kawasan berkenaan sebelum ini.

Bacaan IPU di Serian akan terus dipantau dalam tempoh tiga hari bagi mengesan sebarang turun naik, termasuk kemungkinan meningkat melebihi paras 500, sebelum sebarang cadangan berhubung status darurat di kawasan itu dikemukakan kepada Premier Sarawak dan Perdana Menteri Malaysia.

Oleh Afiq Sallehi