BLM B2 perkasa mobiliti, sosioekonomi penduduk luar bandar

Facebook
WhatsApp
SIDANG MEDIA… Dato Ir. Yusuf Abd Wahab mengadakan sidang media selepas majlis penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 Parlimen P206 Tanjong Manis, di Dewan Serbaguna Kampung Seberang, hari ini.

SARIKEI: Pemilikan lesen motosikal yang sah mampu meningkatkan mobiliti golongan B40 di kawasan luar bandar untuk mencari rezeki, mendapatkan pekerjaan dan menguruskan keperluan harian.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir Yusuf Abd Wahab berkata, keperluan itu antara asas pelaksanaan Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) Kelas B2 Tahun 2026 Parlimen P206 Tanjong Manis yang memberi manfaat kepada 1,014 peserta.

Katanya, program tersebut telah dilaksanakan sejak kira-kira dua bulan lalu dengan peserta perlu melalui beberapa peringkat sebelum layak memperoleh lesen motosikal.

“Untuk makluman, program ini sebenarnya telah berjalan sejak kira-kira dua bulan lalu dengan melibatkan seramai 1,014 peserta. 

“Sepanjang tempoh tersebut, mereka melalui pelbagai proses tapisan termasuk ujian teori, manakala pada bulan lalu kita telah mengadakan sesi praktikal di Dewan IKS Tanjung Manis.

“Pada hari ini, kita mengadakan penyerahan lesen secara rasmi kepada peserta, walaupun bukan dalam bentuk fizikal tetapi secara digital,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 Parlimen P206 Tanjong Manis, di Dewan Serbaguna Kampung Seberang, hari ini.

Tambahnya, program tersebut berjaya mencapai matlamatnya apabila peserta yang memenuhi proses ditetapkan kini memperoleh lesen Kelas B2.

“Alhamdulillah, program ini telah berjalan dengan jayanya dan peserta-peserta telah berjaya memperoleh lesen motosikal Kelas B2, iaitu lesen percubaan (P) untuk tempoh dua tahun,” katanya.

Katanya, kemudahan memiliki lesen sah amat penting kepada golongan berpendapatan rendah, terutama mereka yang bergantung kepada motosikal untuk bergerak dari kawasan kediaman ke tempat kerja atau mencari sumber pendapatan.

“Apa yang penting, tujuan kita mengadakan program ini adalah atas keprihatinan kerajaan untuk membantu rakyat, terutama golongan sasar iaitu golongan B40. 

“Mereka memerlukan kenderaan seperti motosikal untuk mencari sumber pendapatan, mendapatkan pekerjaan, pergi bekerja serta berurusan dengan pejabat-pejabat kerajaan.

“Sebab itulah kita melihat program yang diadakan ini banyak memberi manfaat kepada penduduk kampung. Kebanyakan peserta adalah dari kawasan Parlimen Tanjong Manis,” katanya lagi.

Menurut Yusuf, pemilikan lesen yang sah turut memberi kemudahan kepada penduduk kampung dalam menjalankan pelbagai urusan tanpa berdepan kekangan berkaitan kelayakan untuk menunggang motosikal.

“Memiliki lesen memandu motosikal yang sah, sudah tentu ia akan memudahkan urusan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, peserta yang memiliki lesen turut berpeluang memanfaatkan kuota petrol sebanyak 300 liter sebulan yang dapat membantu keperluan pengangkutan diri dan keluarga.

“Di samping itu, mereka juga layak mendapat kuota petrol sebanyak 300 liter sebulan. Ini juga penting kerana ia boleh membantu diri sendiri dan keluarga. Kadangkala kuota 300 liter ini tidak mencukupi.

“Adanya lesen ini, mungkin mereka juga boleh membantu ibu bapa untuk menambah kuota petrol,” tambahnya.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Mohamad Faizal David Jemat; wakil Residen Bahagian Sarikei, Azryn Naim Zolkeffli; wakil Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, ASP Douglas Nyatop dan Temenggong Awangku Ibrahim Awangku Hosain.

Oleh Earl Anek