Enam kawasan di Sarawak catat bacaan IPU sangat tidak sihat

Facebook
WhatsApp
KEADAAN jerebu menyelubungi beberapa kawasan di Sarawak susulan kualiti udara yang merosot ke tahap sangat tidak sihat, dengan Serian merekodkan bacaan IPU tertinggi, iaitu 287, setakat 1 tengah hari tadi.

KUALA LUMPUR: Sebanyak enam kawasan di Sarawak mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap sangat tidak sihat setakat 1.00 tengah hari tadi dengan Serian merekodkan bacaan tertinggi, iaitu 287.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Azuri Azizah Saedon berkata lima lagi kawasan di negeri itu yang merekodkan bacaan sangat tidak sihat ialah Kuching (267), Sri Aman (251), Samarahan (242), Samalaju (202) dan Bintulu (201).

Beliau berkata 25 kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat melibatkan Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Sabah, Labuan, Sarawak dan Selangor, selain 26 kawasan mencatatkan status kualiti udara sederhana dan 11 kawasan pada tahap baik.

Azuri Azizah berkata keadaan itu berlaku dalam persekitaran cuaca kering yang berterusan di sebahagian Rantau Selatan ASEAN.

Beliau berkata berdasarkan laporan Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) semalam, 139 titik panas dikesan di Kalimantan, Sumatera (138) dan Malaysia (16), iaitu sembilan di Sarawak, Sabah (lima) dan Terengganu (dua).

“ASMC turut melaporkan jerebu sederhana hingga tebal diperhatikan bergerak ke arah timur laut dari Kalimantan ke beberapa kawasan di Sarawak, Sabah dan Brunei.

“Kepulan asap sederhana hingga tebal turut diperhatikan di Kalimantan Utara dan Kalimantan Timur serta bahagian tengah dan selatan Sumatera, manakala jerebu sederhana di Singapura, bahagian selatan Semenanjung dan bahagian timur Jawa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata JAS terus mempertingkatkan pemantauan dan rondaan di kawasan berisiko termasuk hutan, tanah gambut, tapak pelupusan sampah, kawasan pertanian dan perladangan serta kawasan industri yang berpotensi menjadi punca pembakaran terbuka.

Azuri Azizah berkata sebarang sumber pembakaran terbuka atau pencemaran yang dikenal pasti akan disiasat dan tindakan penguatkuasaan akan diambil dengan tegas mengikut peruntukan undang-undang serta bidang kuasa JAS.

Orang ramai diminta segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui talian 999 atau talian bebas tol JAS 1-800-88-2727 bagi membolehkan tindakan segera diambil.

Bacaan IPU terkini boleh dirujuk melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) JAS di laman sesawang apims.doe.gov.my atau aplikasi MyJAS.- Bernama