Ibu dan anak orang utan kedua diselamatkan daripada kebakaran hutan

Facebook
WhatsApp
FOTO edaran yang dirakam pada 3 September 2026 dan diperoleh pada 5 September 2026 daripada Yayasan Inisiasi Alam Rehabilitasi Indonesia (YIARI) dan Kementerian Perhutanan Indonesia menunjukkan sepasang ibu dan anak orang utan dipindahkan oleh pihak berkuasa susulan kebakaran hutan dan tanah di Kampung Sungai Awan Kiri, daerah Muara Pawan, Ketapang, Kalimantan Barat. Foto AFP

JAKARTA, Indonesia: Seekor ibu orang utan bersama anaknya yang terancam akibat kebakaran hutan yang merebak ke habitat mereka di Indonesia diselamatkan awal minggu ini, menurut pihak berkuasa dalam satu kenyataan.

Kepulauan Asia Tenggara yang luas itu sejak beberapa minggu lalu berdepan kebakaran hutan yang menyelubungi sebahagian kawasan Borneo dan Sumatera dengan jerebu, selain turut menyumbang kepada pencemaran udara di Malaysia, Singapura dan Filipina.

Pasangan orang utan itu telah dipantau sejak Julai selepas dikesan berada di kawasan ladang berhampiran hutan di Kalimantan Barat, menurut agensi pemuliharaan sumber alam tempatan dalam satu kenyataan.

KEDUA-dua orang utan itu akan terus dipantau sepanjang berada di pusat penyelamatan dan pemulihan. Foto AFP

Bagaimanapun, pihak berkuasa memutuskan untuk memindahkan kedua-duanya ke pusat penyelamatan yang dikendalikan oleh Yayasan Inisiasi Alam Rehabilitasi Indonesia (YIARI) selepas kebakaran merebak berhampiran habitat mereka.

Kesihatan kedua-duanya dipantau rapi oleh doktor haiwan, namun pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan akibat kebakaran pada kedua-dua primat berkenaan.

“Pendedahan kepada asap dalam tempoh tertentu… boleh menjejaskan sistem pernafasan orang utan, khususnya apabila kepekatan asap di habitat sangat tinggi,” kata doktor haiwan YIARI, Komara, yang seperti kebanyakan rakyat Indonesia hanya menggunakan satu nama, dalam satu kenyataan.

“Kedua-dua orang utan itu akan terus dipantau sepanjang berada di pusat penyelamatan dan pemulihan.”

KESIHATAN kedua-duanya dipantau rapi oleh doktor haiwan, namun pemeriksaan awal mendapati tiada kecederaan akibat kebakaran pada kedua-dua primat berkenaan. Foto AFP

Penyelamatan terbaharu itu menjadikan jumlah orang utan yang dipindahkan akibat ancaman kebakaran hutan kepada sembilan ekor dalam tempoh kurang sebulan di Daerah Ketapang, wilayah Kalimantan Barat, kata Pengarah Operasi YIARI, Argitoe Ranting.

“Ini menunjukkan bahawa kebakaran bukan sahaja memusnahkan hutan, malah menyebabkan haiwan kehilangan tempat perlindungan dan sumber makanan,” katanya.

Kebanyakan haiwan “tidak mempunyai banyak pilihan” untuk berpindah apabila habitat mereka terbakar, tambahnya.

Seekor orang utan mati selepas diselamatkan minggu lalu, dengan keputusan bedah siasat menunjukkan pendedahan kepada asap sebagai punca kematian, menurut agensi pemuliharaan sumber alam Kalimantan Barat. – AFP