SARIKEI: Kira-kira 66 peratus daripada kematian akibat kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal, sekali gus menuntut penerima Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) Kelas B2 supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan selepas memperoleh lesen.
Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sarawak, Mohamad Faizal David Jemat berkata, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) pada 2025, sebanyak 6,537 kematian direkodkan akibat kemalangan jalan raya.
“Menurut kajian yang dijalankan oleh pihak MIROS pada 2025, sebanyak 6,537 kematian direkodkan, dengan kira-kira 66 peratus daripada kematian akibat kemalangan maut jalan raya membabitkan penunggang motosikal.
“Kajian oleh pihak MIROS yang merujuk kepada statistik kemalangan yang dikeluarkan oleh pihak PDRM turut menunjukkan secara purata 13 penunggang motosikal maut setiap hari di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan Program Bantuan Lesen Memandu Kelas B2 Tahun 2026 anjuran Parlimen P206 Tanjong Manis, di Dewan Serbaguna Kampung Seberang, hari ini.
Katanya, kemalangan maut bukan sahaja mengakibatkan kehilangan nyawa, malah memberi kesan ekonomi yang besar kepada negara.
“Dianggarkan kerugian yang ditanggung oleh kerajaan akibat kemalangan maut ini adalah sebanyak RM30 bilion dan jumlah tersebut turut menyamai sebahagian besar perbelanjaan mengurus kerajaan bagi 2025, sekali gus menggambarkan skala beban ekonomi yang sangat besar kepada negara,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua penerima lesen supaya menjadikan keselamatan sebagai keutamaan setiap kali berada di jalan raya, termasuk memastikan penggunaan topi keledar yang memenuhi piawaian ditetapkan.
“Berdasarkan statistik tersebut, saya ingin mengingatkan semua penerima bantuan lesen agar sentiasa mengamalkan sikap berhati-hati ketika menunggang motosikal.
“Pastikan topi keledar diiktiraf oleh SIRIM dan sentiasa dipakai serta dipasang dengan betul.
“Jangan sesekali mengambil mudah tentang perkara ini kerana ia melibatkan keselamatan nyawa,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mohamad Faizal berkata, BLM merupakan inisiatif kerajaan menerusi Kementerian Pengangkutan melalui JPJ bagi membantu golongan berpendapatan rendah (B40) memperoleh lesen motosikal Kelas B2 pada kadar minimum RM250.
“Program Bantuan Lesen Memandu (BLM) merupakan inisiatif kerajaan amnya, Kementerian Pengangkutan khasnya, melalui Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dalam mendekati dan menyantuni rakyat berpendapatan rendah (B40) untuk mendapatkan lesen Kelas B2 pada kadar minimum sebanyak RM250 sahaja,” katanya.
Tambahnya, sokongan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab membolehkan seramai 1,014 penduduk di kawasan Parlimen berkenaan daripada pelbagai latar belakang memperoleh lesen B2 yang sah.
“Sokongan serta keprihatinan padu Ahli Parlimen Tanjong Manis, Dato Ir. Yusuf Abd Wahab telah merealisasikan impian seramai 1,014 penduduk Parlimen Tanjong Manis daripada pelbagai latar belakang, antaranya warga emas, pelajar sekolah dan belia, untuk memiliki lesen memandu B2 yang sah pada hari ini.
“Terima kasih Dato Ir. Yusuf Abd Wahab serta tahniah dan syabas diucapkan kepada anda semua,” katanya.
Mohamad Faizal turut menyeru penerima supaya memanfaatkan lesen tersebut untuk perkara yang dapat meningkatkan kehidupan dan membantu keluarga.
“Saya juga ingin menyeru kepada semua penerima lesen memandu hari ini untuk memanfaatkan lesen ini ke arah yang lebih baik.
“Gunakan kemudahan ini untuk memudahkan pergerakan, menimba ilmu dan mencari rezeki bagi membantu diri serta keluarga tersayang,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa lesen yang diperoleh bukan sekadar memberi kelayakan untuk menunggang motosikal secara sah, tetapi merupakan satu amanah yang perlu disertai disiplin dan pematuhan undang-undang.
“Yang paling penting, saya amat berharap agar semua penerima terus mematuhi undang-undang jalan raya dan mengamalkan cara pemanduan berhemah.
“Ingatlah, kemudahan yang diberikan ini juga merupakan amanah yang harus dijaga bersama-sama,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek




