KUCHING: Aktiviti di tapak projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak boleh diteruskan walaupun keadaan jerebu melanda Serian, dengan semua pihak diwajibkan mematuhi langkah pencegahan dan penjagaan kesihatan yang sewajarnya.
Pengarahnya, Datu Cassidy Morris berkata, keputusan itu dibuat susulan Kenyataan Media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBNS) bertarikh 5 September 2026 berhubung keadaan jerebu di Serian.
Menurutnya, semua kontraktor, perunding serta warga kerja di tapak projek diminta sentiasa peka terhadap keadaan semasa dan mengutamakan aspek keselamatan serta kesihatan sepanjang pelaksanaan kerja.
“Keselamatan dan kesihatan semua warga kerja sentiasa menjadi keutamaan,” katanya dalam notis jerebu yang dikeluarkan hari ini.
Sebelum ini, JPBNS memaklumkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian mencapai 334 pada 10.00 pagi hari ini, yang dikategorikan sebagai berbahaya.
JPBNS turut menasihatkan orang ramai supaya mengurangkan aktiviti luar dan memakai pelitup muka N95 atau sekurang-kurangnya pelitup muka tiga lapis sekiranya perlu berada di luar.
Oleh Afiq Sallehi





