Kelulusan tanah buka laluan pembinaan kapel The Church of God di Bintangor

Facebook
WhatsApp
ADUN Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing menyaksikan penyerahan surat hak milik tanah kepada The Church of God in Bintangor. Foto Pusat Khidmat Meradong

BINTANGOR: Kelulusan tanah bagi tujuan keagamaan membolehkan The Church of God in Bintangor membangunkan sebuah kapel yang lebih selesa bagi memenuhi keperluan penganut serta komuniti setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, penyerahan surat hak milik tanah itu merupakan perkembangan penting dalam usaha menyediakan kemudahan keagamaan yang lebih baik di kawasan berkenaan.

“Kelulusan tanah tersebut merupakan satu perkembangan penting bagi membolehkan The Church of God in Bintangor menyediakan kemudahan keagamaan yang lebih selesa dan sesuai untuk kegunaan para penganut serta komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis penyerahan surat hak milik tanah kepada The Church of God in Bintangor bagi tujuan keagamaan serta pembinaan kapel, di sini, hari ini.

Katanya, penyediaan kemudahan tersebut juga dapat menyokong penganjuran pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Ding turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Sarikei atas kerjasama serta kelulusan tanah berkenaan yang membolehkan perancangan pembangunan kemudahan tersebut diteruskan.

Katanya, usaha menyediakan kemudahan yang memenuhi keperluan masyarakat perlu dilihat dalam konteks lebih luas, termasuk membantu mewujudkan persekitaran komuniti yang harmoni dan saling menghormati.

“Usaha tersebut juga mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan keperluan komuniti setempat diberi perhatian demi mewujudkan masyarakat yang harmoni, saling menghormati dan hidup dalam suasana perpaduan,” katanya.

Penyerahan surat hak milik itu membolehkan pihak gereja meneruskan perancangan pembangunan kapel bagi memenuhi keperluan keagamaan komuniti The Church of God in Bintangor.

Oleh Earl Anek